fbpx

Vanidah gesa SMK Convent Bukit Nanas diselamatkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
VANIDAH IMRAN

PETALING JAYA – Pelakon Vanidah Imran sedih dan berang terhadap segelintir pihak yang disifatkan tamak berhubung isu pajakan tanah tapak Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Bukit Nanas, Kuala Lumpur atau CBN.

Menerusi satu hantaran yang dimuat naik dalam Instagramnya, pelakon filem Perempuan Melayu Terakhir itu tidak berpuas hati apabila sekolah terbabit tidak akan diberikan pajakan tanah selepas tarikh luput pada 6 September tahun ini.

“Kenapa? Pihak mana yang sangat tamak untuk mendapatkan tanah (tapak sekolah)? Sekolah tersebut mempunyai surat sokongan daripada Kementerian Pendidikan. Jadi saya tidak faham kenapa lessen pajakan tanah tidak dapat diperbaharui?” katanya.

Ujar aktres berusia 47 tahun itu lagi, Kuala Lumpur bakal kehilangan sebuah lagi bangunan ikonik dengan seni bina menarik jika CBN dirobohkan untuk tujuan pembangunan.

“Jika CBN dirobohkan, Kuala Lumpur akan kehilangan sebuah lagi bangunan yang memiliki seni bina menarik. Kuala Lumpur bakal luput dengan bangunan-bangunan bersejarah seperti Le Coq d’Or Mansion yang kini telah dibangunkan menjadi hotel.

“Bangunan ikonik Penjara Pudu (Jalan Hang Tuah) yang telah dirobohkan dan bakal menjadi penempatan mewah (saya tertanya-tanya adakah roh daripada penjara pudu akan berkeliaran di situ) dan Tasputra Perkim milik Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang kini dibina sekolah antarabangsa,” tulis Vanidah.

Ujar Vanidah, dia berpendapat bahawa naratif negara ini perlu diubah untuk menjadi sebuah negara yang bangga dengan identiti, budaya dan warisan sejarah tersendiri.

Sebagai informasi, sekolah perempuan yang ditubuhkan pada tahun 1899 tersebut merupakan antara sekolah tertua di Malaysia.

Bagaimanapun, media melaporkan bahawa sekolah terbabit memfailkan tuntutan mencabar keputusan kerajaan yang tidak memperbaharui pajakan tapaknya di Jalan Bukit Nanas.

Pihak sekolah mendakwa keputusan kerajaan untuk tidak memperbaharui pajakan berkenaan melanggar hak kebebasan asasi dan hak rakyat untuk mendapat pendidikan. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI