fbpx

Siti Nurhaliza selamat lahirkan anak lelaki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Foto bayi lelaki Siti yang dikongsi oleh anak tirinya, Asyraf Khalid dalam Instagram hari ini.

PETALING JAYA – Penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza telah selamat melahirkan anak keduanya, seorang bayi lelaki di sebuah pusat perubatan di Selangor pada pukul 6.21 pagi tadi.

Pihak pengurusannya menerusi Instagram memberitahu, bayi seberat 3.84 kilogram itu dilahirkan menerusi kaedah pembedahan. Siti dan bayi juga berada dalam keadaan baik dan sihat.

Suami kepada penyanyi lagu 7 Nasihat itu, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau lebih dikenali sebagai Datuk K turut melahirkan rasa syukur kerana isterinya telah selamat melahirkan anak kedua mereka.

“Paling penting ibu dan anak berada dalam keadaan sihat, stabil dan proses melahirkan telah berjalan dengan lancar,” kata Khalid.

Sementara itu, Siti sebelum ini berjanji akan mendedahkan nama anak keduanya dengan pangkal huruf A itu selepas tujuh hari kelahiran sama seperti yang dilakukan kepada anak sulungnya Siti Aafiyah yang kini berusia tiga tahun.

Siti dan suami turut menzahirkan rasa syukur dan terima kasih atas doa yang diberikan kepada mereka.

Dalam entri yang sama pasangan itu turut mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada pihak doktor dan jururawat yang diketuai oleh Dr. Leong Wai Yew dari Alpha IVF & Women’s Specialist yang telah menjalankan tanggungjawab dan khidmat terbaik sepanjang proses kelahiran berkenaan.

Mereka juga meluahkan tanda terima kasih kepada pengasas dan Pengarah Alpha IVF & Women’s Specialists, Datuk Dr. Colin Lee Soon Soo kerana telah menjayakan program In Vitro Fertilization atau bayi tabung uji (IVF) bagi kandungan Siti yang pertama iaitu Siti Aafiyah dan anak keduanya.

Dalam pada itu, pihak Siti juga mengharapkan kelahiran anak kedua pada bulan Ramadan akan mengurniakan rezeki serta rahmat Allah.

Penyanyi lagu Kuasa Cintamu itu mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Datuk K pada 2006. Pasangan itu dikurniakan puteri sulung, Siti Aafiyah juga hasil proses IVF selepas 11 tahun mendirikan rumah tangga selepas pernah keguguran pada November 2015. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI