fbpx

Sekolah di tujuh daerah Kelantan ditutup seminggu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara ibu bapa yang berpatah balik ketika menghantar anak mereka di Sekolah Kebangsaan Pasir Pekan, Tumpat hari ini selepas tidak menerima makluman awal mengenai penutupan sekolah di tujuh daerah di Kelantan selama seminggu bermula hari ini. Foto ZULHANIFA SIDEK

KOTA BHARU – Semua sekolah dan institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di tujuh daerah di Kelantan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditutup selama seminggu bermula hari ini sehingga 24 April depan.

Difahamkan, Pengarah Pendidikan negeri, Zulkernai Fauzi mengumumkan keputusan tersebut pada pukul 11 malam tadi, namun surat rasmi penutupan hanya mula diterima pihak pentadbiran sekolah-sekolah terbabit pada pukul 5 pagi tadi.

Pengumuman itu dilakukan kurang 24 jam selepas Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk Dr. Mah Hang Soon memaklumkan bahawa KPM belum memutuskan untuk menutup sekolah di kawasan yang dikenakan PKP di Kelantan semalam.

Menurut surat itu, Zulkernai berkata, arahan penutupan sekolah di tujuh daerah itu dijalankan selepas cadangan yang dikemukakan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Khas Negeri Kelantan yang bermesyuarat semalam.

“Cadangan itu dipertimbang dan dengan mengambil kira situasi semasa, KPM membuat ketetapan semua sekolah dalam jajahan PKP diarah tutup bagi tempoh tujuh hari mulai 18 hingga 24 April 2021.

“Semua murid yang tinggal di asrama perlu kekal berada di asrama,” katanya.

Zulkernai berkata, pihak sekolah hendaklah memastikan guru-guru dapat melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) mengikut kesesuaian dan keupayaan akses kepada komunikasi murid sepanjang penutupan sekolah.

Terdahulu, tujuh daerah di Kelantan kecuali Gua Musang, Jeli dan Kuala Krai dikenakan PKP bermula Jumaat lalu hingga 29 April depan susulan kes positif Covid-19 yang melonjak tinggi di negeri ini sepanjang minggu ini.

Setakat hari ini, tiga lokasi di negeri ini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) iaitu Sekolah Tahfiz Bunut Sarang Burung di Tumpat, Kolej Tahfiz Sains Nurul Aman, Kok Lanas dan Sekolah Menengah Sains Machang.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI