fbpx

Pakistan sekat akses media sosial di seluruh negara selama beberapa jam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota polis Pakistan berkawal berhampiran bangunan Konsulat Perancis sebagai langkah berjaga-jaga susulan insiden keganasan tunjuk perasaan oleh penyokong parti TLP. – AFP

ISLAMABAD, PAKISTAN – Kerajaan Pakistan mengenakan sekatan ke atas akses media sosial dan aplikasi mesej lain selama beberapa jam di seluruh negara, sehari selepas insiden keganasan tunjuk perasaan anti-Perancis tercetus di negara itu.

Dalam satu notis yang dikeluarkan kepada Pihak Berkuasa Telekomunikasi Pakistan, Kementerian Dalam Negeri mengarahkan ‘sekatan menyeluruh’ dikenakan terhadap Twitter, Facebook, WhatsApp, YouTube dan Telegram sehingga pukul 3 petang (waktu tempatan).

Tiada sebab diberikan terhadap arahan tersebut.

Sebelum ini, parti politik di negara itu sering menggunakan media sosial untuk mengumpul penyokong.

Justeru, pihak berkuasa Pakistan mengenakan sekatan media sosial serta memutuskan perkhidmatan mudah alih sebelum ini dalam usaha untuk mengakhiri tunjuk perasaan besar-besaran dengan mencegah para pemimpin daripada mengajak orang ramai untuk menyertainya.

Semalam, Kedutaan Perancis di Pakistan menasihati rakyatnya dan syarikat berkaitan Perancis untuk segera meninggalkan negara itu buat sementara waktu.

Ia susulan tercetusnya tunjuk perasaan yang diketuai oleh parti ekstremis sehingga melumpuhkan sebahagian besar negara itu serta mengakibatkan dua anggota polis terbunuh.

Beribu-ribu penyokong parti Tehreek-e-Labbaik Pakistan (TLP) berkumpul di jalanan pada Isnin lepas selepas pemimpinnya, Saad Rizvi ditahan kerana menuntut pengusiran Duta Perancis dari negara itu.

Tuntutan itu dibuat susulan sentimen anti-Perancis yang semakin meluap-luap dalam kalangan penduduk Pakistan selepas Presiden Perancis, Emmanuel Macron menyatakan sokongannya terhadap hak sebuah majalah di Perancis untuk menerbitkan semula karikatur Nabi Muhammad baru-baru ini.

Susulan itu, kerajaan Pakistan mengambil langkah berjaga-jaga dengan menempatkan anggota keselamatan di hadapan kedutaan Perancis.

Dalam pada itu, di Lahore, para penyokong TLP terus melakukan tunjuk perasaan di sebuah sekolah agama dan markas parti TLP meskipun terdapat edaran yang ditulis sendiri oleh Saad yang menyeru para penyokongnya agar menghentikan protes.  – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN