fbpx

Apa jadi dengan AIM?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SYAFINAZ SELAMAT
MOHD. HAIKAL ISA, Wartawan Eksekutif

KALI terakhir Anugerah Industri Muzik (AIM), satu acara berprestij yang mengiktiraf kualiti seni muzik tanah air diadakan adalah lima tahun lalu. Sejak itu, acara yang mendapat jolokan ‘Grammy Malaysia’ itu terus sunyi sepi daripada sebarang pe­nganjuran.

Tahun lalu, AIM dikatakan bakal kembali dianjurkan selepas menyepi berikutan masalah kewangan dan ketiadaan penaja. Perkara itu disahkan Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) yang baharu dilantik, Kenny Ong.

Bagaimanapun, tidak lama se­lepas itu, Covid-19 datang membadai negara sekaligus merencatkan segala perancangan kebanyakan industri termasuk industri muzik. Penganjuran AIM pun senyap seribu bahasa ditiup bayu lesu disebabkan pandemik maut itu.

Negara jiran kita, Indonesia masih mampu memberi peng­iktirafan kepada pemain-pemain muzik mereka ketika kemelut Covid-19 menghantui industri mereka tahun lalu. Acara dijayakan secara maya sedangkan kita terkapai-kapai entah ke mana dan di mana.

Menyentuh sedikit berkenaan perihal tersebut termasuk ekosistem seni muzik negara yang kurang memberangsangkan, pen­syarah vokal Jabatan Muzik Fakulti Seni Persembahan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Datuk Syafinaz Selamat berpendapat, Malaysia perlukan lebih banyak acara yang mengiktiraf kerja seni muzik negara.

“Kita sudah tidak ada apa sekarang. AIM pun sudah tiada. Yang ada hanyalah Anugerah Juara Lagu (AJL).

“Kalau ingin maju ke hadapan, kita perlukan lebih banyak acara seperti AJL. Kalau tidak, memang tidak akan berkembang. Pemain-pemain industri pun per­lu memainkan peranan ma­sing-masing.

“Lahirkan karya-karya yang bagus. Sesiapa yang ingin beker­ja dalam industri, kalau sudah po­pular, terus perbaiki diri.

“Labur wang sedikit untuk penuhkan ilmu di dada. Sebagai contoh, ambil kelas vokal,” kata Syafinaz yang juga merupakan salah seorang Ahli Lembaga Pe­ngarah Akademi Seni Kebangsaan (Aswara).

Getus Syafinaz lagi, untuk industri muzik Malaysia terus berkembang pesat, sesuatu perlu diubah berkaitan ekosistem dan budaya kerja mereka yang terlibat.

“Artis muda sekarang misal­nya, kalau sudah popular fol­lowers berjuta-juta maksudnya, duit pun ada lebih sikit. Jadi, ambil inisiatif sedikit untuk memajukan diri belajar vokal atau hal-hal berkaitan.

“Janganlah kalau sudah popular, bakat duduk tahap itu sahaja. Kesian dekat para peminat yang tidak henti-henti menyokong kerjaya anda. Jangan tipu mereka,” ujarnya.

Anak kelahiran Pontian, Johor itu turut melahirkan rasa sedih melihat nyanyian tidak dianggap sebagai satu kerjaya yang serius oleh segelintir bakat muda gene­rasi alaf baharu yang juga dikenali sebagai ‘Budak Baru Nak Up’ (BBNU).

“Tengok industri Kpop, mereka bekerja keras sejak kecil bahkan seawal usia belasan tahun. Ambil masa lama bukan dua tiga bulan untuk menjadi seorang penyanyi.

“Saya tak cakap bakat nya­nyian pemain industri Kpop terlalu hebat tapi mereka punya kesungguhan adalah sesuatu yang wajah diteladani.

“Nak menyanyi dan menari dengar lancar atas pentas dan membuatkan dunia terpegun buat satu perkara yang mudah.

“Kita punya so-called artis sekarang baru belajar tiga bulan sudah mengeluh dan rasa tempoh masa itu terlalu lama. Masuk industri bukan nak jadi terke­nal dan glamor sahaja, banyak perkara lain yang perlu diambil kira,” kata Syafinaz.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI