fbpx
AKMAL meminati permainan video sejak kecil.

K2

Remaja pendiam Putrajaya harumkan nama negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERMAIN permainan video ialah hobi atau aktiviti masa lapang pilihan kebanyakan remaja.

Jika dilakukan secara berlebihan, ia dianggap aktiviti yang membazir masa, namun tidak bagi remaja ini yang bukan sekadar bermain permainan video sebagai hobi tetapi telah mengharumkan nama negara dalam lapangan e-Sukan.

Bermula sekadar hobi, Ahmad Akmal Abdul Rafil, 19, atau lebih mesra disapa Akmal tidak menyangka percubaan kali pertama dalam acara e-Sukan bola sepak, EA Sports FIFA Global Series Rantau Asia Timur telah membuka lembaran baharu dalam hidupnya.

Dianggap sebagai pemain kuda hitam, pelajar Diploma Kejuruteraan Elektrik, Universiti Tenaga Nasional (Uniten) itu membuktikan kehebatannya sekali gus menjadi rakyat Malaysia pertama yang berjaya memenangi kelayakan ke-2 EA Sports FIFA Global Series Rantau Asia Timur itu dengan menumpaskan Juara Piala Dunia FIFA eClub, Tsakt dari pasukan e-Sport Jepun, Blue United eFC.

Kejayaan tersebut merupakan satu permulaan baharu bagi arena e-Sukan tempatan dan juga karier Akmal di persada e-Sukan antarabangsa.

 

 

GAMBAR rajah yang menunjukkan perjalanan Akmal yang pernah kalah pada pusingan awal sebelum mara sehingga ke peringkat akhir dan menjuarai kelayakan ke-2 EA Sports FIFA Global Series Rantau Asia Timur.

Cerita Akmal, sebagai pemain baharu, dia pada awalnya tidak menyangka dapat menembusi perlawanan sehingga ke peringkat akhir.

“Penyertaan saya dalam acara ini sekadar ingin mencuba dan menimba pengalaman. Namun, selepas mula bermain dalam liga sejak pusingan kelayakan pada Oktober tahun lalu dan berjaya ke pusingan akhir, saya lebih yakin dan terus memberikan yang terbaik dalam setiap perlawanan.

“Sebagai pemain baharu dalam liga, saya tidak meletakkan harapan yang tinggi. Kejayaan melepasi pusingan kelayakan ke pertandingan besar adalah satu kejayaan peribadi buat diri saya. Saya dianggap sebagai pemain kuda hitam kerana tanpa diberi perhatian, saya berjaya mara ke peringkat akhir,” katanya ketika ditemu bual K2 di kediamannya di Putrajaya baru-baru ini.

Tambah anak bongsu daripada dua beradik itu, semua pemain dalam kelayakan ke-2 EA Sports FIFA Global Series Rantau Asia Timur itu bukan calang-calang.
Ada antara mereka yang pernah memenangi acara-acara e-Sukan besar di peringkat antarabangsa, malah mempunyai pengalaman bermain dengan juara-juara dunia yang lain.

Kelayakan ke-2 EA Sports FIFA Global Series Rantau Asia Timur merupakan acara e-Sukan permainan video PlayStation terbesar di Asia.

Ia juga merupakan platform buat pemain e-Sukan di rantau ini untuk meraih kelayakan ke pertandingan peringkat dunia. Akmal merupakan salah seorang wakil negara mewakili kelab e-Sukan Klasiko Football Team yang menyertai acara tersebut selain pemain dengan nama GBX_Ayen atau Ahmad Shahrin Shaharudin, 20, dari kelab GBX E-Sport Team.

Perjalanan Akmal dalam acara tersebut tidaklah dilakar dengan kejayaan dalam setiap pusingan.

 

 

NAMA Akmal hangat dalam arena e-Sukan tanah air baru-baru ini apabila menjadi anak Malaysia pertama yang berjaya memenangi kelayakan ke-2 EA Sports FIFA Global Series Rantau Asia Timur.

Menurut jejaka asal Putrajaya itu, dia pada awalnya tewas kepada pemain dari Korea Selatan, Serry7 dari kelab Esport Reputation di peringkat separuh akhir Winners Semi-Final.

“Selepas kekalahan itu, saya dimasukkan ke dalam liga losers dan dari situ saya berjaya mengalahkan pemain dari Indonesia dan Korea Selatan sebelum berjaya kembali ke peringkat separuh akhir kalah mati seterusnya berdepan dengan Tsakt di perlawanan akhir Kelayakan ke-2 EA Sports FIFA Global Series Rantau Asia Timur.

“Berdepan dengan Tsakt adalah satu cabaran memandangkan saya hanyalah pemain baharu, manakala dia salah seorang juara antarabangsa. Pada perlawanan pertama, saya hanya dapat mengikat perlawanan dengan keputusan seri 3-3 sebelum menumpaskan pemain dari Jepun itu, 6-2 pada pusingan kedua,” ujarnya.

Mengenali personaliti Akmal dengan lebih mendalam, putera kepada Abdul Rafil Abdul Halim, 54, dan Haslina Hasan, 51, itu merupakan seorang remaja yang pendiam dan pemalu. Minatnya dalam e-Sukan bermula sejak kecil selepas ibu bapanya menghadiahkan Akmal permainan PlayStation keluaran kedua pada tahun 2007.

Selain bermain permainan e-Sukan bola sepak, Akmal turut bermain permainan video lain seperti Counter Strike dan Call of Duty.
Dalam menjalani kehidupan seharian, Akmal merupakan seorang pelajar dan remaja biasa.

Dia mula melibatkan diri dalam arena e-Sukan secara kompetitif sejak tahun 2018 dengan menyertai pertandingan-pertandingan kecil bersama rakan-rakan lain.
Setahun kemudian, Akmal menjadi salah seorang ahli kelab e-Sukan Klasiko Football Team. Dia juga mula dikenali dalam kalangan pemain e-Sukan selepas menjuarai beberapa pertandingan domestik sekitar tahun 2019 dan 2020.

 

KELUARGA sentiasa menjadi pendorong bagi Akmal untuk terus melakar kejayaan dalam bidang pelajaran dan e-Sukan.

Jelas Akmal sebagai seorang pelajar dan pemain e-Sukan pada masa sama, dia lebih memberi tumpuannya kepada pelajaran dan menjadikan penglibatan dalam e-Sukan sebagai hobi masa senggang.

Dalam aktiviti seharian dia akan memastikan segala tugasan pelajaran disiapkan terlebih dahulu sebelum bermain permainan video atau berlatih bagi pertandingan-pertandingan e-Sukan bersama rakan-rakan secara dalam talian.

Meminati pasukan bola sepak Chelsea dan Terengganu FC, Akmal juga memasang niat untuk menyambung pelajaran di peringkat lebih tinggi dan bercita-cita untuk menjadi seorang jurutera.

Bagi kariernya sebagai pemain e-Sukan, Akmal mahu meluaskan lagi pengalaman dengan menyertai pertandingan yang lebih besar.
Menurut Akmal, dia mahu kedua-dua bidang ini dapat diseimbangkan dan saling melengkapi perjalanan hidupnya.

“Saya bersyukur kerana mempunyai ibu bapa yang sentiasa menyokong apa sahaja yang saya lakukan.

“Mereka juga sering menasihatkan supaya saya tidak mengabaikan pelajaran. Bagi saya, meskipun kini sedang meningkat naik dalam e-Sukan, saya masih mendahulukan pelajaran sebagai bekalan untuk jangka masa panjang.

“Pada masa sama, saya juga memberi perhatian kepada hubungan bersama keluarga.
Meskipun perlu berlatih untuk pertandingan e-Sukan dan sibuk dengan tugasan pelajaran, setiap hujung minggu saya akan lebihkan masa untuk menolong mereka membuat kerja-kerja di rumah,” jelasnya.

Tambah Akmal lagi, untuk berjaya dalam apa yag diceburi, kita perlu fokus dan pandai membahagikan masa. Walaupun e-Sukan cumalah permainan video, ia juga merupakan platform buat remaja untuk memajukan diri selain membina karier sebagai atlet e-Sukan.

Pesannya, generasi muda juga perlu mementingkan pelajaran dan bijak mengimbangi kedua-dua bidang itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN