GUJARAT, INDIA – Seorang remaja yang digelar Rapunzel kerana memiliki rambut panjang yang tidak pernah dipotong sejak berumur enam tahun mendermakan rambutnya kepada Muzium Ripley’s Believe It or Not! bagi memberi inspirasi kepada orang ramai, lapor agensi berita United Press International kelmarin.
Nilanshi Patel, 18, pernah mencipta Guinness World Record sebagai remaja yang mempunyai rambut terpanjang ketika berumur 16 tahun dengan ukuran sepanjang 170 sentimeter (sm).
Gadis itu mengambil keputusan memotong rambut pendek rambutnya beberapa hari sebelum ulang tahunnya yang ke-18 dengan ukuran terakhir mencecah 199 sm sebelum didermakan kepada Muzium Ripley’s Believe It or Not!
“Rambut ini banyak membawa tuah kepada saya dan kini tiba masa untuk saya jadikan ia sesuatu yang boleh dikongsi dengan orang lain,” ujarnya kepada pegawai Guinness World Record.
Tambah Nilanshi, dia ada mempertimbangkan untuk mendermakan rambutnya kepada kanak-kanak pesakit kanser untuk dibuat rambut palsu.
Bagaimanapun ibunya, Kaminiben Patel meyakinkan gadis itu untuk mempamerkan rambutnya di muzium agar dapat memberi inspirasi kepada orang ramai.

Rambut Nilanshi kini sedang dalam persiapan untuk dipamerkan di Muzium Ripley’s Believe It or Not! dahulu sebelum dipindahkan ke Muzium Guinness World Records Hollywood di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS).
“Saya sukakan gaya rambut terbaharu dan berharap orang ramai akan mendapat inspirasi daripada rambut ‘Rapunzel’ yang akan dipamerkan kelak,” ujarnya. – Agensi