fbpx

Rakyat Perancis digesa segera tinggalkan Pakistan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tentera Pakistan berkawal di hadapan Kedutaan Perancis di Pakistan dalam kawasan Zon Merah sebagai tindakan berjaga-jaga susulan insiden keganasan protes anti-Perancis di negara itu. - AFP

ISLAMABAD, PAKISTAN – Kedutaan Perancis di Pakistan menasihati rakyatnya untuk segera meninggalkan negara itu buat sementara waktu, selepas insiden keganasan protes anti-Perancis yang melumpuhkan sebahagian besar Pakistan minggu ini.

“Susulan ancaman serius terhadap kepentingan Perancis di Pakistan, rakyat dan syarikat-syarikat berkaitan Perancis dinasihatkan untuk meninggalkan negara ini secepat mungkin.

“Penghantaran pulang akan dilakukan menggunakan penerbangan-penerbangan sedia ada,” kata kedutaan Perancis dalam satu emel kepada semua warganegaranya.

Sentimen anti-Perancis semakin meluap-luap  di Pakistan sejak kerajaan di bawah pentadbiran Presiden Emmanuel Macron menyatakan sokongannya terhadap hak sebuah majalah di Perancis untuk menerbitkan semula karikatur Nabi Muhammad baru-baru ini.

Kenyataan yang dikeluarkan Macron pada September lepas telah mengundang kemarahan dalam kalangan penduduk Islam di seluruh dunia, sehingga beberapa negara Islam menganjurkan tunjuk perasaan serta melakukan tindakan memboikot Perancis.

Beberapa minggu selepas majalah Charlie Hebdo menerbitkan semula karikatur tersebut, pejabat lamanya di Paris diserang oleh seorang lelaki Pakistan yang menikam dua orang awam.

Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan pada ketika itu menuduh Presiden Perancis sebagai menyerang keimanan umat Islam serta menggesa negara-negara Islam untuk bekerjasama dalam berdepan dengan apa yang digelarnya sebagai penindasan yang semakin meningkat di Eropah.

Semalam, kerajaan Pakistan bertindak melarang sebuah parti politik ekstremis, di mana pemimpinnya menggesa pengusiran duta Perancis dari negara itu.

Pemimpin Tehreek-e-Labbaik Pakistan (TLP), Saad Rizvi, ditahan beberapa jam selepas membuat tuntutan tersebut, yang telah menyebabkan ribuan penyokongnya berkumpul di jalanan di bandar-bandar di Pakistan. 

“Kami sentiasa mempertahankan kemuliaan Nabi Muhammad, namun tuntutan yang dibuat oleh puak TLP akan menggambarkan Pakistan sebagai bangsa yang radikal di mata dunia,” ujar Menteri Dalam Negeri Pakistan, Sheikh Rashid Ahmed semalam. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN