fbpx

Atlet perlu bangkit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
MUHAMMAD RIDUAN MOHD. HANAFIAH
WARTAWAN EKSEKUTIF

KEJOHANAN Grand Prix (GP) Malaysia yang berakhir Ahad lalu sepatutnya menjadi penanda aras terbaik buat atlet negara selepas lebih setahun tiada kejohanan kompetitif, namun saingan tersebut dilihat sedikit membimbangkan terutama dalam bidang olahraga.

Kekangan menjalani latihan akibat impak Covid-19 menyebabkan rata-rata atlet gagal melepasi catatan rekod peribadi terbaik mereka sekali gus menjadi tamparan hebat kepada usaha yang dilakukan Kesatuan

Olahraga Malaysia (KOM) menjelang Sukan SEA 2021 di Vietnam, hujung tahun ini.

Sudah pasti KOM perlu segera menekan ‘butang panik’ sekiranya mereka berhasrat untuk me­ngulangi pencapaian terbaik pada edisi sebelum ini.

Bagaimanapun, ketua jurulatih skuad olahraga kebangsaan, Mohd. Manshahar Abdul Jalil mengakui prestasi atlet negara merosot, namun yakin mereka akan segera bangkit.

Tegasnya, kejohanan selama dua hari yang berlangsung di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN) adalah permulaan terbaik buat jurulatih untuk menilai tahap prestasi atlet.

“Saya akui prestasi atlet olahraga terutama dalam acara trek agak sederhana.

“Saya yakin jurulatih mempunyai alasan tersendiri menerusi catatan yang kita perolehi pada kejohanan ini. Setiap jurulatih membawa pendekatan berbeza sebagai contoh pada aksi permulaan ini mungkin mereka enggan mengambil risiko untuk mengelakkan daripada berlaku kece­deraan.

“Saya yakin atlet negara dalam acara trek mampu bangkit ketika Kejohanan Terbuka Malaysia pada 11 hingga 13 Jun depan yang menjadi antara platform kelayakan ke temasya Sukan Olimpik di Tokyo dan Sukan SEA 2021,” katanya kepada Kosmo!.

Meskipun acara trek dilihat kurang memberangsangkan, namun Manshahar turut mengakui lima pingat emas mampu direalisasikan selepas dua rekod kebangsaan lebur di kejohanan itu.

Pada kejohanan tersebut, acara padang paling mencuri tumpuan selepas dua rekod kebangsaan baharu dilakar masing-masing menerusi Grace Wong dalam acara baling tukul besi wanita dengan catatan 62.48 meter (m) dan Queenie Ting Kung Ni bagi acara lempar cakera wanita dengan lemparan sejauh 48.56m.

Presiden KOM, Datuk S.M Muthu turut menyatakan kebimbangan terutama kepada atlet pecut negara selepas dilihat gagal mempamerkan larian terbaik terutama dalam acara 100 meter.

Meskipun acara 100m tidak disertai beberapa nama besar seperti raja pecut Asia Tenggara, Muhammad Haiqal Hanafi dan pemegang rekod kebangsaan Khairul Hafiz Jantan, namun ia masih gagal dimanfaat atlet kebangsaan dari Sarawak, Jonathan Nyepa yang sekadar meraih perak.

Pada saingan tersebut, atlet pelapis kebangsaan, Muhammad Arsyad Md. Saat melakukan kejutan di Stadium Mini Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil pada Sabtu lalu.

“Selepas lebih setahun tiada kejohanan, saya lihat banyak perkara perlu dipertingkatkan pada masa akan datang terutama pencapaian atlet pecut negara dalam acara 100m.

“Bagi saya mereka perlu segera bangkit sekiranya ingin mewakili skuad Kebangsaan ke Sukan SEA dan seterusnya me­raih pingat buat negara pingat di Hanoi nanti,” katanya

Muthu mengakui pihaknya turut merangka beberapa perancangan termasuk menghantar ­atlet bertanding dalam kejohanan jemputan serantau dan Eropah.

Pada temasya dua tahun lalu di Filipina, skuad olahraga me­nyumbang lima emas, lapan pe­rak dan lapan gangsa buat kontinjen negara. Pingat emas berjaya disumbangkan menerusi atlet pecut, Muhammad Haiqal Hanafi dalam acara 100m, Lee Hup Wei (lompat tinggi), Hakimi Ismail (lompat kijang), Irfan Shamsuddin (lempar cakera) dan Yap Sean Yee (lompat tinggi wanita).-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI