fbpx

Hujan batu, ribut petir hingga Mei

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Perubahan cuaca akibat peralihan monsun di negara ini akan menyebabkan berlakunya ribut petir yang boleh membawa angin yang kencang, hujan batu atau hujan yang sangat lebat.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Jailan Simon berkata, ribut petir itu biasanya berlaku pada sebelah petang.

“Ia kadang kala boleh membawa angin yang kencang, hujan batu atau hujan yang sangat lebat.

“Kita jangkakan ia biasanya berlaku dalam tempoh setengah jam hingga dua jam dan situasi itu menyebabkan keadaan yang sangat berbahaya kepada penduduk di negeri-negeri yang terlibat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual secara langsung menerusi temubual stesen televisyen tadi.

Terdahulu, (MetMalaysia) meramalkan negara ini akan mengalami peralihan monsun bermula 16 Mac lalu dan berakhir pada sekitar pertengahan bulan Mei depan.

Peralihan monsun itu berlaku melibatkan negeri di sebelah pantai barat seperti Johor, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Kedah dan Perlis.

Jelasnya, bagi minggu ini, pihak MetMalaysia menjangkakan akan berlaku hujan lebat dalam tempoh dua tiga hari lagi pada sebelah petang.

“Kita ramalkan selepas itu, cuaca dijangka lebih baik daripada sekarang,” ujarnya.

Justeru itu, beliau mengingatkan orang ramai agar sentiasa peka dengan cuaca sekitar dan jika berlaku ribut dan petir, jangan duduk di kawasan yang terbuka dan di bawah struktur yang lemah. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI