fbpx

Dana Wakaf Al-Insan Kenanga dilancar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kenanga Investors Bhd. (Kenanga Investors) melancarkan Dana Wakaf Al-Ihsan Kenanga sebagai platform pelaburan terbuka untuk me­labur dalam pelbagai portfolio ekuiti, sukuk, instrumen pasaran wang Islam dan juga deposit Islam yang mematuhi prinsip syariah.

Melalui pelancaran tersebut, Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) dilantik sebagai penerima dan pentadbir dana wakaf yang dilantik.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kenanga Investors, Ismitz Matthew De Alwis berkata, sejajar dengan prinsip wakaf, separuh daripada pendapatan yang diperoleh akan diagihkan kepada pelbagai sektor seperti pendidikan, penjagaan kesihatan, pemerkasaan ekonomi dan pemuliharaan atau pembangunan alam sekitar.

“Memandangkan Kenanga Investors telah pun menerajui pelbagai pencapaian perintis dan inovatif industri dalam industri pengurusan dana, maka langkah kami yang seterusnya adalah untuk mengembangkan pelaburan syariah kami.

“Potensi wakaf sangat bermakna dalam memberikan impak yang positif kepada aspek ekonomi dan sosial golongan yang kurang bernasib baik.

“Dana ini akan berfungsi sebagai landasan pelancaran bagi produk lain yang berkaitan de­ngan alam sekitar, sosial dan tadbir urus.

“Ia juga adalah sebahagian daripada langkah Kenanga Investors ke arah pelaburan yang mampan dan bertanggungjawab secara sosial,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.

Matthew De Alwis menerangkan, pengeluaran wakaf dibuat dalam sektor yang telah dikenal pasti dan akan dipantau oleh jawatankuasa bersama yang terdiri daripada Kenanga Investors, YWM dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM).

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YWM, Prof. Madya Dr. Amir Shaharuddin berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan Kenanga Investors sebagai usaha untuk memberi sumbangan secara langsung, mengembangkan harta wakaf sedia ada, mewujudkan wakaf baharu dan membangunkan ekonomi ummah menerusi instrumen wakaf.

Jelasnya, konsep wakaf merupakan salah satu daripada institusi sosio ekonomi teras Islam yang menggalakkan umat Islam untuk bergerak secara inovatif dalam menjana hasil dan menyediakan pelbagai barangan serta perkhidmatan kepada komuniti masing-masing.

“Kami menjangkakan dana ini akan menimbulkan kesedaran dan minat yang tinggi disebabkan oleh ciri altruistiknya, terutamanya dalam iklim sosial pada hari ini yang akan membawa kepada pemerkasaan masyarakat dan pengurangan kemiskinan,” jelasnya.

Selain itu, dana baharu itu bersesuaian untuk pelabur yangmahu mendapatkan pertumbuhan modal serta pengagihan pendapatan yang stabil melalui kaedah pempelbagaian yang meluas dan pengurangan risiko.

Jumlah pelaburan minimum awal adalah RM1,000 dengan setiap pelaburan tambahan pada nilai RM100.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI