TEMERLOH – Seorang warga emas maut selepas motosikal ditunggangnya berlanggar dengan sebuah pacuan empat roda di Kilometer 10 Jalan Jerantut-Temerloh di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu mangsa, Abu Samah @ Mohd Tahir Singah, 80, yang menunggang motosikal jenis Honda EX-5 diseret sejauh kira-kira tiga kilometer oleh kenderaan jenis Nissan Frontier terbabit.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd. Yusri Othman berkata, semasa kejadian mangsa yang berasal dari Kampung Tan Sri Yahya, Temerloh dalam perjalanan dari arah Jerantut ke Temerloh.
“Apabila sampai di tempat kejadian penunggang motosikal dipercayai hendak masuk simpang di sebelah kanan dan semasa membelok sebuah jip dari arah bertentangan melanggar bahagian sisi sebelah kiri motosikal.
“Kenderaan berkenaan kemudiannya mengheret mangsa sejauh kira-kira tiga kilometer sebelum (mangsa) jatuh di atas jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian,”katanya di sini, hari ini.
Menurut Mohd. Yusri, mangsa menggalami kecederaan di muka sebelah kiri luka, patah bahu kiri, patah tulang rusuk dan patah kaki kiri.
Dalam pada itu katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan masih giat dilakukan.
Katanya, berdasarkan siasatan pacuan empat roda berkenaan dipandu seorang warga Indonesia yang membawa dua penumpang warga Bangladesh. – K! ONLINE.














