SUSUK tubuh wanita cantik bertubuh langsing mengenakan pelitup muka dilihat berkeliaran di sekitar jalan-jalan di Jepun.
Dikenali sebagai Kuchisake-Onna, makhluk itu diketegorikan sebagai Yurei iaitu manusia yang telah mati dan bangkit kembali menjadi hantu dalam masyarakat di Negara Matahari Terbit itu.
Namanya yang bermaksud wanita bermulut koyak, Kuchisake-Onna disifatkan sebagai Yurei moden yang sangat jahat.
Menerusi catatan awal mitologi Jepun, hantu ini muncul pertama kali ketika awal abad ke-8.
Bermula saat itu, Kuchisake-Onna kerap memunculkan kelibatnya bagi menakut-nakutkan masyarakat terutamanya golongan kanak-kanak. Sebut sahaja Kuchisake-Onna, masyarakat di negara itu pasti menjerit ketakutan kerana bayangan wanita dengan mulut terkoyak menghantui mereka.
Kisah Kuchisake-onna dikatakan bermula ketika era Heian (abad ke-9). Bagaimanapun ada juga beberapa sumber yang mendakwa makhluk mengerikan itu muncul ketika zaman Edo (abad ke-17).
Menurut seorang lelaki dikenali sebagai Etsuko, 39, hantu Kuchisake-Onna merupakan jelmaan roh tidak tenang seorang wanita yang jelita di sebuah perkampungan di Jepun.
Sebelum kematiannya, wanita tersebut dipercayai berjalan-jalan di kampungnya sambil bertanyakan kepada orang ramai sama ada dirinya cantik atau sebaliknya.
Setiap kali penduduk memberitahu dirinya cantik, ia akan memberi keberanian buatnya untuk mendampingi mana-mana lelaki sehingga akhirnya sanggup mengadakan hubungan sulit biarpun pada waktu itu dia telah mendirikan rumah tangga.
“Wanita itu mempunyai hubungan sulit dengan seorang askar. Hubungan sulit itu tersimpan kemas selama beberapa tahun sebelum terbongkar.
“Sebaik hubungannya diketahui suaminya yang merupakan seorang samurai, lelaki tersebut mengambil sebilah pedang dan mengelar mukanya daripada telinga sehingga mulut.
Ekoran itu, wajahnya berubah menjadi hodoh,” katanya.
Tertekan dan kecewa kerana diperlakukan seperti binatang, wanita itu kemudian mengambil keputusan untuk membunuh diri.
Rohnya yang dikatakan tidak tenteram menyebabkan dia memunculkan diri sebagai hantu kerana mahu membalas dendam.
“Hantu Kuchisake-Onna akan memasuki ke dalam tubuh mana-mana wanita yang ditemuinya dan mengubah wajah menjadi sepertinya sebelum berkeliaran.
“Kuchisake-Onna akan muncul memakai topeng muka sambil memegang senjata tajam seperti pedang. Dia akan menghampiri mana-mana individu pada waktu malam dan bertanyakan soalan.
“Setiap individu ditemuinya disoal adakah dia wanita cantik atau tidak.
“Jika jawapan yang diterima adalah tidak, maka mangsa akan dibunuh serta-merta dengan tubuhnya dipotong,” ceritanya.
Terangnya lagi, jika individu itu menjawab ya, Kuchisake-Onna akan menanggalkan topeng mukanya mendedahkan wajah menakutkan lalu menghiris mulut individu itu.
Pendek kata, betul atau salah jawapan diberikan, setiap insan malang yang ditemuinya tetap dibunuh tanpa belas kasihan.
Biarpun kisah Kuchisake-Onna dipercayai masyarakat di negara tersebut sehingga ke hari ini, namun wajahnya diabadikan di dalam ukiran kayu seni tradisional Jepun.
Selain Kuchisake-Onna, beberapa hantu lain turut diukir pada kayu, selain diangkat sebagai ikon budaya popular seperti manga untuk dijadikan anime.
Bukan itu sahaja, watak hantu pembunuh ini juga turut dijadikan watak dalam filem Pom Poko pada 1984 dan beberapa filem seram Jepun lain.
—————————————————————————–
Artikel ini diambil daripada kepercayaan masyarakat di sesuatu tempat sejak zaman-berzaman bertujuan untuk pendidikan dan bukan menggalakkan kepercayaan karut atau tahyul.














