fbpx

Cermin kereta ditembusi objek keras

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Cermin kereta Perodua Alza dinaiki pasangan suami isteri ditembusi objek keras dalam kejadian di Jalan Kampung Batu 7, Renggam-Simpang Renggam, Kluang, Johor malam semalam.

KLUANG – Sepasang suami isteri berdepan detik cemas apabila cermin sisi kenderaan mereka ditembusi sebuah objek ketika sedang memandu di Jalan Kampung Batu 7, Renggam-Simpang Rengam, malam semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Low Hang Seng berkata, ketika kejadian pada pukul 7.40 malam itu, pasangan tersebut sedang dalam perjalanan menuju ke Kluang.

Jelasnya, objek yang menembusi cermin sisi kenderaan jenis Perodua Alza itu bagaimanapun masih belum dikenal pasti.

“Ketika pengadu sedang memandu di laluan berkenaan bersama isterinya, mereka terdengar bunyi hentakan kuat di tingkap sebelah kanan kereta.

“Pengadu memberhentikan kenderaan berhampiran sebuah premis dan membuat pemeriksaan sebelum mendapati cermin sisi kanan dan kiri retak serta terdapat kesan lubang tembus kecil disyaki akibat sesuatu ketulan keras,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Hang Seng turut memberitahu, kejadian tersebut bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kecederaan terhadap mangsa.

Tambah beliau, siasatan dijalankan dengan bantuan unit forensik dari Ibu Pejabat Kotinjen (IPK) Johor dan tidak menjumpai apa-apa serpihan peluru atau ‘bearing’ yang boleh dikaitkan dengan sebarang senjata.

“Bagaimanapun, siasatan akan terus dijalankan untuk mengenal pasti objek yang menyebabkan cermin kereta pengadu pecah dalam kejadian itu,” ujarnya.

Sehubungan itu katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI