fbpx
AZLIN sering menghabiskan waktu dengan bermalasan di atas katil bermain telefon pintar sewaktu di rumah.–GAMBAR HIASAN

K2

Sikap malas melampau isteri terbongkar selepas kahwin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BAHTERA perkahwinan Helmi dan Azlin baru saja memasuki usia setahun dan belum dikurniakan cahaya mata, namun bahtera mereka itu sudahpun dibadai dan karam dek sikap pemalas melampau.

Hubungan pasangan itu mula dingin apabila Helmi mengetahui sikap sebenar Azlin setelah mereka berkahwin dan tinggal di bawah satu bumbung di Kuala Lumpur.

Pada awal perkahwinan, segalanya tampak indah dan cukup sempurna sebelum Helmi mengetahui tahap pemalas melampau isterinya.

“Saya berkahwin dengan Azlin atas dasar cinta selepas sama-sama belajar di universiti dahulu. Selepas masing-masing mendapat pekerjaan yang stabil, kami mengambil keputusan untuk berkahwin.

“Saya memilih mengahwini Azlin disebabkan rupa parasnya yang cantik dengan susuk tubuh tinggi lampai. Saya juga senang dengan sikapnya yang penyabar,” ujar Helmi ketika ditemu bual K2 baru-baru ini.

Sebagai seorang wanita bekerjaya, Azlin diketahui tidak mempunyai cukup masa untuk menguruskan kerja-kerja rumah seperti wanita lain yang bekerja. Perkara tersebut disedari dan difahami oleh Helmi

Bagaimanapun, sikap malas Azlin sungguh keterlaluan sehingga semua kerja rumah tidak dilakukan meskipun pada sebelah malam atau cuti hujung minggu.

Selepas pulang kerja, Azlin lebih rela terbaring dan bermalasan di atas katil sambil bermain telefon pintar atau menonton drama di televisyen.

“Biasanya, Azlin sampai ke rumah sekitar pukul 7 petang. Selepas itu, dia makan makanan yang dibeli di kedai sebelum terbaring di atas katil bermain telefon pintar sehingga tertidur.

“Saya faham dia letih selepas pulang dari kerja.

“Namun, sikap malasnya sangat keterlaluan sehingga cawan dan pinggannya pun tidak larat hendak basuh dan dibiarkan begitu sahaja di atas meja,” tegasnya.

 

KEADAAN rumah yang dibiarkan bak tongkang pecah menyebabkan Helmi hilang sabar terhadap isterinya.–GAMBAR HIASAN

Tambahan pula, Azlin dilahirkan dalam keluarga berada yang mempunyai orang gaji untuk menguruskan kerja-kerja di rumah sejak dia kecil hingga meningkat remaja.

Situasi tersebut membuatkan Azlin tidak pandai membuat kerja rumah selepas berkahwin termasuk mengemas bilik tidur, melipat pakaian dan menyapu sampah.

Tegas Helmi yang bekerja sebagai jurujual kenderaan, disebabkan kemalasan isterinya itu, sepanjang perkahwinan mereka, Helmi terpaksa melakukan kerja rumah sendiri termasuk membasuh pakaiannya, memasak, mengemas rumah dan mencuci pinggan.

Kerja-kerja tersebut terpaksa dilakukan oleh Helmi bagi memastikan rumah sentiasa kemas meskipun keletihan selepas pulang daripada kerja.

“Saya ini pula dilahirkan dalam keluarga susah dan seorang yang tidak boleh tengok rumah berselerak.

“Sejak kecil lagi, saya melakukan kerja-kerja rumah dan menguruskan adik-adik selepas kematian ibu,” ujarnya.

Semua kerja rumah dilakukan dengan penuh sabar oleh Helmi sehingga satu hari perasaan tidak puas hati yang dipendam selama ini terhadap Azlin akhirnya meletus jua.

Ia selepas Helmi melihat rumah seperti tongkang pecah selepas pulang daripada tugasan luar selama dua hari di luar ibu kota.

Situasi ini membuatkan Helmi berasa sangat marah dengan sikap Azlin yang tidak mempunyai rasa tanggungjawab untuk mengemas rumah ketika ketiadaan dirinya.

 

EKORAN sikap malas isterinya untuk mengurus pakaian dan mengemas rumah, Helmi terpaksa melakukannya sendiri.–GAMBAR HIASAN

“Saya pelik, dia ada masa berjam-jam untuk bersolek di depan cermin supaya kelihatan cantik sebelum keluar rumah atau pergi kerja. Tetapi dia tidak ada masa untuk kemas rumah dan menguruskan pakaian sendiri.

“Selepas pulang dari tugas luar, saya terus hilang sabar apabila melihat keadaan rumah yang teruk. Ini membuatkan saya melafazkan talak satu kepada Azlin kerana berpendapat dia gagal menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri,” katanya.

Helmi telah memanjangkan perkara tersebut kepada pihak mahkamah syariah sebelum diminta melafazkan semula talak di depan hakim serta beberapa orang saksi.

“Sebelum kami berpisah, hakim sempat menasihati Azlin supaya berubah dan menegaskan tugas seorang isteri adalah menguruskan makan dan pakai suami.

“Saya tidak menyalahkan Azlin atas penceraian yang berlaku, mungkin cara kami dibesarkan berbeza sehingga mewujudkan jurang ketara.

“Saya sangat berharap dia dapat berubah sekiranya ingin berumah tangga kembali,” tuturnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN