fbpx

K2

WAN FA’AIZAH menunjukkan nasi kerabu yang ditawarkan di restoran Dapur Meks, Danau Kota, Kuala Lumpur.

Cita rasa tradisi Kelantan sajian enak Dapur Meks

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA ini, orang ramai masih ditegah untuk merentas negeri ekoran Perintah Kawalan Pergerakan sebagai usaha memutuskan rantaian Covid-19 dalam kalangan masyarakat.

Situasi ini, pastinya menghadirkan rasa rindu para perantau yang menetap di Lembah Klang terhadap masakan negeri kelahiran masing-masing.

Salah satu negeri yang mempunyai sajian tradisi cukup menyelerakan di negara ini ialah Kelantan.

Bagi mengubat rasa rindu tersebut, restoran Dapur Meks Viral (Dapur Meks) yang terletak di Platinum Walk, Danau Kota, Kuala Lumpur tampil dengan aneka hidangan tradisi negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

Mula dibuka secara rasmi pada Julai tahun lalu, Dapur Meks menyajikan aneka sajian asli dari Kelantan yang telah diubah suai mengikut cita rasa masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Pemiliknya, Wan Fa’aizah Wan Muhd. berkata, Dapur Meks pada mulanya beroperasi secara dalam talian sebelum tular di media sosial sekali gus menuntutnya membuka kedai.

“Kami bermula dengan berniaga dari rumah terlebih dahulu. Selepas melihat penerimaan yang baik dalam kalangan masyarakat, kami memberanikan diri untuk membuka kedai di sini (Platinum Walk).

“Alhamdulillah, selepas dibuka, Dapur Meks terus dikenali bukan sahaja dalam kalangan mereka yang berasal dari Kelantan, malah negeri-negeri lain,” katanya ketika ditemu bual K2 baru-baru ini.

 

DAPUR MEKS menawarkan lebih 15 menu cita rasa Kelantan yang cukup menyelerakan.

 

Wanita berusia 51 tahun itu menambah, Dapur Meks menawarkan 15 menu asli Kelantan dengan sajian paling laris adalah daging singgang ngosek dan ikan singgang.

Tegasnya, tidak banyak restoran di negara ini termasuk di Kelantan yang mengetengahkan sajian daging singgang ngosek memandangkan hidangan itu lebih popular sebagai juadah Hari Raya Aidiladha.

“Hidangan paling laris di sini sudah pasti daging dan ikan singgang yang dijamah bersama nasi putih panas, budu serta ulam-ulaman.

“Selain menu ini, kami menawarkan 13 lagi menu lain yang tidak kurang enaknya seperti sup tulang, sambal putik pauh, air asam perut muda, ikan sardin rebus digoreng, ketupat sotong, mi celup dan nasi kerabu ayam percik,” ceritanya.

Wan Fa’aizah menambah, hidangan tersebut bertambah enak sekiranya dinikmati bersama ikan gelama bekok yang digoreng garing bersama hirisan bawang.

Wan Fa’aizah memberitahu, ikan gelama bekok yang popular di Kelantan berbeza dengan ikan kering biasa kerana struktur isinya tidak terlalu kering sekali gus menghadirkan rasa lebih berjus apabila dimakan.

Dalam pada itu, dia memaklumkan, hampir kesemua menu yang diketengahkan di Dapur Meks merupakan resipi asli daripada ibunya sendiri yang berasal dari Kelantan.

 

IKAN gelama bekok ini sungguh enak dijamah bersama nasi putih panas.

“Saya merupakan anak jati Kuala Lumpur, namun ibu berasal dari Kelantan. Saya banyak mempelajari resipi ini daripada ibu sewaktu membantunya di dapur.

“Saya juga ada membuat beberapa perubahan pada resipi asal bagi menambah keenakan rasanya.

“Alhamdulillah, rata-rata pelanggan menyukai menu kami termasuk golongan artis dan orang kenamaan,” tegasnya.

Restoran yang mampu memuatkan seramai 100 orang pada satu-satu masa itu sering menjadi tumpuan para pelanggan untuk menikmati makan tengah hari bersama rakan sekerja atau keluarga.

Pelanggan yang menetap di Lembah Klang juga boleh menempah hidangan menerusi aplikasi WhatsApp dan pihak restoran akan menghantar hidangan terus ke rumah anda. Maklumat lanjut mengenai restoran ini boleh didapati di Instagram @Dapur_Meks.

 

BERITA BERKAITAN