fbpx
KANGMIN (kanan) melakukan usaha pemulihan kecederaan kepada pemain bola sepak, Bruno Suzuki baru-baru ini. – Amir Khalid

Rehabilitasi pusat pemulihan sukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBAGAI seorang model dan atlet kecergasan, rutin harian wanita berusia 35 tahun itu banyak dihabiskan di dalam gimnasium.

Nana Al-Haleq sering mengerah keringat serta otot tubuhnya mengangkat bebanan di situ seperti dumbell dan peralatan angkat berat.

Matlamat wanita berasal dari ibu kota itu hanya satu iaitu untuk memastikan tubuh badannya kelihatan berotot sekali gus memperbaiki fizikal diri.

Rutin dilakukan selama enam hari seminggu dengan dua jam setiap sesi itu tanpa disedari telah mengundang tekanan berterusan kepada otot tubuh Nana.

Situasi tersebut menuntut Nana untuk melakukan proses pemulihan dan rehabilitasi pada beberapa bahagian tubuhnya pada hujung minggu bagi memastikan dia kekal cergas.

Bagi memastikan pemulihan yang dilakukan betul-betul berkesan, wanita bertubuh seksi itu memilih menjalani rawatan rehabilitasi di pusat pemulihan sukan, Traine di Desa Sri Hartamas, Kuala Lumpur.

Traine adalah institusi prestasi insan pertama di Asia Tenggara yang menyediakan latihan prestasi, perkhidmatan pemulihan dan rehabilitasi bertaraf dunia di bawah satu bumbung.

“Sejak bergelar atlet bina badan pada usia 10 tahun, tubuh saya telah menjalani rejim latihan yang ketat bagi mencapai pelbagai sasaran ditetapkan.

“Tekanan berterusan ke atas tubuh badan dan gaya hidup aktif menuntut pemulihan dan rehabilitasi. Di Traine, saya tidak perlu lagi bimbang untuk mencari seorang ahli terapi terbaik.

“Saya percaya, kekuatan tubuh bukan setakat kemampuan mengangkat bebanan tetapi memiliki badan sihat dan berfungsi dengan baik adalah lebih penting,” katanya ketika ditemu bual K2 baru-baru ini.

Traine diasaskan oleh seorang pakar pemulihan dan rehabilitasi terkenal dari Korea Selatan, Dr. Ko Kangmin yang mempunyai pengalaman selama 28 tahun dalam bidang berkenaan.

Pemegang ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang perubatan sukan dan terapi fizikal itu pernah ditugaskan sebagai Master Trainer untuk kontinjen Korea Selatan ke Sukan Olimpik.

Menurut Kangmin, Traine ialah sebuah pusat yang memenuhi segala aspek pembentukan individu untuk berfungsi pada kapasiti optimum dalam setiap sukan diceburi.

KEMUDAHAN rawatan kecederaan yang terdapat di pusat pemulihan sukan ini nampak lengkap dan berkualiti tinggi.

Jelasnya, khidmat yang diberikan oleh Traine merangkumi aspek diet pemakanan, latihan fizikal dan penyesuaian sehinggalah terapi pemulihan kepada para atlet.

“Matlamat kami ialah membangunkan sebuah pusat prestasi insan berdedikasi yang menyokong dan menerajui bidang perubatan sukan dan terapi fizikal di negara ini.

“Saya percaya, gabungan sains sukan dan terapi fizikal mampu meningkatkan kesejahteraan fizikal serta memulihkan seseorang daripada kecederaan sekali gus dapat menguruskan kesakitan dengan lebih baik,” tegasnya.

Uniknya, Traine tidak hanya memfokuskan kepada proses pemulihan semata-mata, malah turut membantu atlet mengesan punca berlakunya sesuatu kecederaan.

Pusat yang dibuka pada tahun lalu itu turut dilengkapi peralatan berteknologi tinggi yang tidak ada di pusat-pusat fisioterapi atau rehabilitasi di negara ini.

“Di sini, kami menawarkan pelbagai perkhidmatan seperti urutan, terapi cryo, terapi shockwave, sauna, oxygen chamber, gold bar heat, bekam, normatec dan raibow.

“Harga ditawarkan di sini bergantung kepada jenis rawatan iaitu sekitar RM300 hingga RM400 untuk satu sesi. Setiap rawatan memerlukan dua hingga empat sesi,” jelasnya.

Mengimbas kembali penglibatan Kangmin dalam industri tersebut, dia memaklumkan, segalanya bermula selepas mengalami kecederaan lutut ketika bergelar atlet taekwondo Korea Selatan pada tahun 1990.

Disebabkan itu, dia telah dibawa ke Jerman untuk menjalani pembedahan sebelum pakar di sana mencadangkan dirinya menjalani pemulihan secara fisioterapi terlebih dahulu.

Selepas dua minggu di sana, dia melalui proses pemulihan yang menakjubkan apabila kecederaan lutut dialami beransur pulih tanpa perlu pembedahan.

“Pengalaman ini telah mengubah hidup saya sehingga sanggup menghabiskan masa untuk mempelajari rawatan, pemulihan dan rehabilitasi sukan sehingga berjaya membuka HIM Sport Rehab di Korea Selatan,” katanya.

Pada tahun 2017, khidmat Kangmin telah ditagih oleh Majlis Sukan Negara bagi membantu kontinjen negara menghadapi temasya Sukan SEA di Kuala Lumpur.

Kangmin terlibat dengan atlet daripada 11 disiplin sukan ketika temasya berkenaan seperti bola keranjang, taekwondo, menembak, memanah, angkat berat dan gimnastik.

Hasil pengamatan Kangmin, dia dapati bahawa persekitaran pemulihan dan rehabilitasi di negara ini berdepan isu sama seperti dialami Korea Selatan pada tahun 1990-an.

KANGMIN (kanan) melakukan usaha pemulihan kecederaan kepada pemain bola sepak, Bruno Suzuki baru-baru ini. – Amir Khalid

Hal ini kerana Malaysia ketika ini tidak mempunyai prosedur holistik untuk menguruskan kecederaan dan memperbaiki proses rehabilitasi.

“Kami sedar setiap atlet tidak boleh mengelak daripada mengalami kecederaan. Justeru mereka perlu mempunyai fasiliti terbaik untuk memulihkan kecederaan itu secepat mungkin.

“Saya sangat berharap Traine dapat membantu para atlet di negara ini memulihkan kecederaan dihadapi dengan kaedah rawatan lebih baik sekali gus membolehkan mereka beraksi secepat mungkin,” terangnya.

Pemain bola sepak kebangsaan, Mohamodou Sumareh merupakan salah seorang pelanggan terawal Traine selepas dia mengalami kecederaan kaki yang memerlukan proses pemulihan selama dua minggu.

Ketika itu, Sumareh hanya mempunyai masa kurang lima hari untuk pulih sebelum perlawanan penting pasukan negara. Sumareh telah berkunjung ke Traine dan Kangmin berjaya membantunya sembuh dalam tempoh empat hari sahaja.

Selain Sumareh, atlet lain yang pernah mendapatkan rawatan di Traine termasuklah legenda badminton negara Datuk Lee Chong Wei; pemain bola sepak, Brendan Gan, Zaquan Adha, Lee Tuck

dan Indra Putra Mahayuddin.

Sementara itu, pengasas bersama Traine, Shahir Khalid memaklumkan, dia berharap dengan pembukaan cawangan pertama mereka mampu mengubah pemikiran masyarakat di negara ini.

Tegasnya, pihaknya ingin memupuk kesedaran masyarakat bahawa terapi fizikal dan latihan prestasi terbuka kepada semua individu dan tidak terhad kepada atlet sahaja.

“Tidak kira anda seorang atlet profesional dengan tuntutan latihan mendesak atau seorang individu korporat yang menghabiskan masa di dalam persekitaran pejabat boleh ke pusat ini.

“Kami di Traine sedia membantu anda untuk mencapai prestasi lebih baik dalam apa jua sukan yang anda ceburi dengan harga tidak jauh beza dengan pusat rehabilitasi lain,” terangnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN