PETALING JAYA – eCurve yang menjadi tumpuan orang ramai sejak 14 tahun untuk bersantai, menjamu selera, menonton wayang dan membeli-belah bakal menjalani transformasi utama untuk mengubah landskap Mutiara Damansara.
Program pembaharuan bandar di eCurve itu akan dilaksanakan oleh Boustead Properties Bhd. melalui anak syarikatnya Damansara Entertainment Centre Sdn. Bhd.
Pengurus Besar Kanan, Pengurusan Hartanah dan Pelaburan, Boustead Properties, Jazmi Kamarudin berkata, bagi melancarkan proses pembangunan hartanah tersebut, syarikat telah mengambil langkah proaktif untuk berhubung dengan penyewa semasa dan memindahkan beberapa penyewa terpilih ke the Curve.
“Pihak pengurusan pusat beli-belah telah mengambil langkah untuk memastikan laluan yang lancar dan tidak terhalang antara the Curve, pejabat komersial dengan kadar penghunian tinggi dan Stesen MRT Surian.
“Satu terowong laluan pejalan kaki yang diterangi lampu akan disediakan untuk kegunaan awam. Pembangunan semula eCurve bakal menerapkan ciri-ciri baharu menarik untuk menyokong the Curve, yang terus beroperasi sebagai pusat beli-belah utama di kawasan kejiranan Mutiara Damansara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan bersempena majlis Lights Off (menutup lampu) di eCurve baru-baru ini.