fbpx

‘Tolong selamatkan saya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Paul Yong Choo Kiong keluar dari Mahkamah Tinggi Ipoh selepas perbicaraan kes rogol pembantu rumah warga Indonesia di Ipoh hari ini.-Foto ZULFACHRI ZULKIFLI

IPOH – Seorang saksi dari Kedutaan Besar Republik Indonesia memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa dia telah dihubungi oleh seorang wanita warga Indonesia dan meminta diselamatkan.

Riki Sapari yang merupakan pegawai di bahagian pengaduan berkata, wanita seolah-olah dalam keadaan sedang menangis itu meminta diselamatkan kerana mendakwa diperkosa oleh majikannya.

Katanya, panggilan tersebut diterima ketika dia berada di bahagian pengaduan di pejabat kedutaan pada 8 Julai 2019, kira-kira pukul 11 pagi.

“Pada waktu itu, mangsa terdengar seperti orang yang sedang menangis ketakutan, panik dan berkata berulang-ulang, tolong selamatkan saya, tolong saya.

“Saya meminta mangsa untuk bertenang dan berbicara dengan sedikit lambat supaya saya boleh memahami dengan jelas aduannya,” katanya ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Jamil Aripin dalam perbicaraan kes rogol bekas exco kerajaan negeri, Paul Yong Choo Kiong di hadapan Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Menurut Riki yang juga saksi ketiga pada hari pertama perbicaraan itu, mangsa ada menyatakan maklumat diri semasa perbualan itu termasuk nama, nombor pasport, tempat bekerja dan nama majikan.

Beliau berkata, wanita itu memaklumkan bahawa majikannya bernama Yong Choo Kiong namun beliau mengakui tidak mengenali majikan mangsa.

Tambahnya, beliau juga menghubungi balai polis di Ipoh dan agensi pembantu rumah wanita itu di negara ini untuk datang dan memeriksa kebenaran laporan di alamat yang diperolehi dari sistem komputer di pejabat kedutaan.

“Sekitar pukul 2 petang, saya dimaklumkan oleh agensi terbabit yang mereka sudah datang ke rumah majikan tetapi mangsa tiada di rumah dan pihak agensi sudah membuat laporan polis,” katanya.

Pada 23 Ogos 2019, Choo Kiong yang juga bekas Pengerusi Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri didakwa merogol seorang wanita di dalam sebuah bilik di tingkat atas sebuah rumah di Meru Desa Park, Bandar Meru Raya.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan antara pukul 8.15 hingga 9.15 malam, 7 Julai 2019.

Pertuduhan terhadap beliau dilakukan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI