fbpx

Pelawak ada sindrom kejutan budaya – Ropie

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ROPIE

MENYEDARI bahawa sejak kebelakangan ini kelompok pelawak sering menjadi sasaran media dan orang ramai kerana kontroversi tertentu, pelawak dan selebriti popular, Ropie meluahkan pandangan sendiri.

Tidak menyangkal fakta bahawa ada antara mereka merupakan rakan seperjuangan dalam aliran seni komedi, sebagai orang lama, Ropie melihat situasi berkenaan adakalanya muncul daripada tindakan yang tidak disengajakan.

Bagaimanapun, kata Ropie atau nama sebenarnya Zahid Tajuddin, kemewahan secara tiba-tiba selain faktor kejutan budaya juga boleh menjadi punca seseorang individu itu terjebak dengan kontroversi.

“Sebenarnya, pelawak era lama pun ada yang buat hal dan terjebak dengan kontroversi. Ada yang buat salah. Cuma mereka dikira bertuah sebab dahulu bukan zaman media sosial seperti sekarang.

“Dahulu kalau buat persembahan, kami dibayar murah sebab dianggap sebagai penghibur selingan sahaja.

“Bukan macam sekarang. Pelawak dibayar dengan harga yang tinggi kerana membantu menaikkan rating stesen televisyen,” katanya.

Menurut anak kelahiran Taiping, Perak itu lagi, apabila harga seseorang pelawak itu sudah setaraf pelakon komersial yang lain, maka bermulalah episod lupa diri jika tidak beringat pada usia muda.

“Bila baru nak merasa duit yang banyak dalam tangan, ditambah pula baru jadi artis, itu yang kadang-kadang boleh buatkan mereka ini ‘diserang’ sindrom kejutan budaya.

“Saya tak tujukan kepada orang lain, ini yang pernah terjadi pada diri sendiri. Bayangkan, apabila dapat masuk program Sinaran Pasport Kegemilangan suatu ketika dahulu pun sudah terasa diri macam artis walaupun hakikatnya belum.

“Untungnya zaman sekarang, pelawak diterima ramai. Dari segi harga pula, bayaran jauh lebih baik berbanding dahulu,” katanya.

Kongsi Ropie, dia juga ada menitipkan nasihat buat teman seperjuangan agar tidak bertindak mengikut perasaan terhadap sesuatu perkara.

“Saya banyak nasihatkan kawan-kawan lain, terutama yang baru nak naik supaya sentiasa beringat. Benda-benda merepek biasanya sekejap saja. Tak kisahlah yang bujang atau sudah berkahwin.

“Banyak risiko kalau dah terjebak dengan kontroversi. Dahulu paling tidak pun kena maki sahaja dengan orang. Tetapi sekarang, maki dapat, malu dapat, kerjaya pun silap-silap boleh hancur,” ujarnya lagi.

PADA usia melepasi 50 tahun, Ropie ternyata kekal relevan kerana wajahnya kerap menghiasai televisyen dan terbaharu dilamar menjadi duta sebuah produk makanan.

Sudah namanya rezeki

Mengajak empunya diri berbicara tentang perkembangan kerjayanya yang semakin bersinar ketika ini, pelawak serba boleh itu menzahirkan rasa syukur kerana menganggap apa yang dimilikinya adalah kurniaan Allah SWT.

Kekal relevan pada usia 54 tahun, Ropie terharu kerana masih banyak tawaran menyapa dirinya walaupun dunia seni saban hari dihujani dengan ramai wajah baharu yang mewujudkan persaingan.

Paling tidak pernah terfikir olehnya apabila dilantik menjadi duta produk pada usia sebegini.

“Kalau buat ulasan makanan dalam media sosial, itu perkara biasa. Tetapi ini tawaran sebagai duta, saya tidak pernah terfikir pun sebelum ini. Walaupun menjadi duta untuk produk makanan kerepek, tetapi gelaran

ini adalah amanah yang perlu digalas dengan baik.

“Biasanya orang panggil saya Ropie atau Pak Kodi. Kalau selepas ini orang mula panggil saya dengan gelaran Ropie Kerepek pun, saya okey saja. Rasa menarik pula ada banyak nama berbeza-beza, itu tandanya orang di luar sana kenal jenama diri kita,” katanya.

Dalam pada itu, Ropie juga menolak andaian dia menerima tawaran menjadi duta kerana memandang bayaran yang tinggi.

Jelasnya, ketika tawaran tersebut diterima daripada pemilik jenama Misabitez, bukan soal bayaran menjadi fokusnya tetapi lebih kepada tahap kualiti produk.

“Jika dibayar tinggi pun, tak salah bukan? Apa yang penting, saya suka dengan pendekatan pemilik jenama ini yang membantu orang di luar sana untuk menjana pendapatan,” tutup Ropie.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI