fbpx
WANY HASRITA

Kisah Pedas, ‘kekasih ilusi’ Wany Hasrita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MERANGKUL tempat ketiga pada Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35) baru-baru ini secara tidak langsung melonjakkan lagi nama dan profil Wany Hasrita sebagai anak seni.

Menuai kejayaan demi kejayaan pada usia muda membuatkan anak kelahiran Bagan Datuk, Perak itu mampu menarik nafas lega atas segala usaha dan titik peluh yang dicurahkan selama ini.

Bagaimanapun, kejayaan yang diraih bukan sebagai tiket untuk dirinya terus selesa. Dia mengakui masih banyak yang perlu dipelajari hingga ke saat ini.

Pemilik nama lengkap Nurshazwany Hasrita Hasbullah, 29, itu sedar, dia perlu lebih fleksibel dan berani mencuba pelbagai perkara baharu terutama dari segi genre muzik yang bakal diketengahkan selepas ini.

“Alhamdulillah untuk kesempatan dan peluang yang diberi hingga hari ini. Kadang-kadang saya pun tidak menyangka mampu sampai hingga ke tahap ini.

“Untuk bertahan dan kekal relevan, saya perlu mencuba lebih banyak pembaharuan.

“Dalam eri kata lain, saya perlu berani mencuba sesuatu yang belum pernah dicuba sebelum ini,” katanya.

Wany berkata demikian ketika ditemui HibGlam usai majlis pelantikannya bersama primadona filem Melayu, Erra Fazira selaku duta pelitup muka jenama Himaya di ibu negara baru-baru ini.

WANITA berzodiak Capricorn ini memberitahu, sudah tiba masa untuknya mencuba sesuatu yang baharu dan lebih segar dalam perjalanan karier muziknya.

Pedas

Bercerita lanjut, Bintang Paling Popular menerusi Anugerah Bintang Popular ke-31 (ABP31) itu memberitahu, dia bakal hadir dengan single terbaharu berjudul Pedas selepas Aidilfitri nanti.

Menurutnya, buah tangan terbaharu itu nanti sekali gus membuktikan dia mampu bereksperimentasi dengan mempelbagaikan genre.

“Seperti yang katakan sebelum ini, saya amat terbuka untuk mencuba sesuatu yang baharu agar peminat tidak berasa bosan dengan seleksi yang pernah saya bawakan.

“Lagu terbaharu ciptaan Altimet itu nanti akan saya bawakan bersama penyanyi rap wanita, Sophia Liana De Fam,” ujarnya yang memberitahu lagu bergenre rap dan rancak itu sudah siap dirakam dan menunggu masa untuk diluncurkan.

Bercerita lanjut, Wany memberitahu, pada perancangan awal dia mahu bergandingan bersama rapper Loca B, namun belum rezeki untuk dilestarikan.

“Kalau ikutkan rancangan awal memang saya akan berduet dengan Loca B, tetapi ditukar dengan Sophia Liana atas sebab-sebab tertentu.

“Saya tidak kisah untuk bekerjasama dengan sesiapa pun, asalkan kelainan yang saya cuba bawakan untuk single kali ini dapat diterima peminat,” ujarnya yang baharu sahaja hadir dengan single Khayalan Cinta awal tahun ini.

WANY mengakui tidak sabar menanti kehadiran single terbaharunya berjudul Pedas usai sambutan Aidilfitri nanti.

Wany menambah, Pedas didedikasikan khas buat segelintir kaum lelaki yang tidak menghargai dan memandang rendah terhadap kemampuan golongan wanita.

Wujud, bukan imaginasi

Tutup rapi perihal single dan kerjaya, Wany kelihatan tenang dengan kuntuman senyuman yang mekar saat ditebak soal hati dan perasaan.

Baginya, dia tidak dapat lari daripada pertanyaan dan soalan berkaitan soal cinta atau siapa gerangan si kumbang yang sedang mengisi kekosongan di kelopak jiwanya.

Tidak setakat itu, ada juga mulut-mulut yang mengatakan kewujudan kekasih hatinya itu hanyalah ‘ilusi’ semata-mata.

“Jujur kata saya kini selesa berkawan dengan seseorang. Sudah lama kami kenal sebenarnya.

“Bab ada yang nak kata saya hanyalah berilusi dan berimaginasi perihal kekasih hati, itu terpulang kepada mereka,” katanya ringkas.

Soal perancangan ke fasa yang lebih jauh, Wany memberitahu, dia masih belum berfikir hingga ke arah itu dan menyerahkan semuanya kepada Yang Maha Esa.

“Soal kahwin dan jodoh ini semua ditentukan Allah SWT. Kami hanya mampu merancang, selebihnya biarlah Dia yang tentukan.

“Kalau ada rezeki awal, awallah. Ibu pun dah beri restu. Doakan saja yang baik-baik,” ujarnya yang mengambil pendekatan untuk tidak menguar-uarkan berkenaan kekasih hati dalam laman sosial secara uMengakhiri perbualan, Wany sempat memberitahu, dia bakal hadir dengan sebuah telefilem dengan genre seram terbitan Astro tidak lama lagi.

WANY selesa berkawan dan mendalami hati budi kekasihnya tanpa perlu dikongsikan identiti kepada umum.

POPULAR