JAKARTA – Selepas selamat disatukan sebagai pasangan suami isteri malam tadi, YouTuber terkenal Indonesia Atta Halilintar mengakui ingin memiliki sehingga 15 orang anak bersama isterinya, Aurel Hermansyah.
Menerusi satu kenyataannya kepada media, Atta atau nama sebenarnya Muhammad Attamimi Halilintar, 27, berharap Tuhan memakbulkan impiannya untuk memiliki sebuah keluarga besar bersama Aurel yang juga merupakan anak kepada diva popular, Krisdayanti itu.
“Ya saya berharap dan ingin memiliki 15 orang anak bersama isteri saya, Aurel. Semoga Tuhan memakbulkannya,” ujarnya ketika melangsungkan majlis perkahwinannya di Raffles Hotel, Kuningan, Jakarta Selatan, Indonesia malam tadi.
Bagaimanapun jika keinginannya tidak termakbul, Atta reda dan enggan mempersoalkan tentang rezeki tersebut kerana yang penting, dia dan Aurel diberikan kesihatan yang baik.
“Tapi kalau tidak dapat (15 anak) tidak mengapa. Yang penting isteri saya sihat selalu,” tuturnya.
Pada masa sama, Atta dan Aurel juga telah bertemu dengan doktor pakar untuk bertanyakan kaedah supaya mereka mendapat cahaya mata kembar.
“Saya dan isteri juga teringin untuk mempunyai anak kembar. Tapi saya harus memikirkan juga soal kesihatan isteri,” jelasnya.
Terdahulu, Atta dan Aurel telah selamat disatukan sebagai pasangan suami isteri dalam satu majlis pernikahan penuh gilang-gemilang yang turut dihadiri Presiden Indonesia, Joko Widodo dan Menteri Pertahanan, Prabowo Subianto sebagai saksi pernikahan mereka.
Dalam pernikahan tersebut yang disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen tempatan, RCTI tersebut Atta terpaksa menahan sebak kerana kedua-dua orang tuanya, Halilintar Anofial Asmid dan Lenggogeni Faruk tidak dapat bersama meraikan hari bahagia kerana berada di Malaysia ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara ini.
Kedua-dua pasangan pengantin baharu itu dikhabarkan akan berbulan madu di Dubai pada 6 April nanti. – K! ONLINE














