fbpx

Tarantula hasil kepakaran tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ISMAIL SABRI menunjukkan plak Tarantula, iaitu nama kereta perisai mobiliti tinggi 4X4 (HMAV4X4) pertama Malaysia yang diperkenalkan di Kem Sungai Besi semalam.

KUALA LUMPUR – Kenderaan berperisai pertama sepenuhnya buatan Malaysia, Tarantula HMAV4x4 diiktiraf setanding dengan kereta berperisai keluaran negara maju.

Jentera perang rekaan syarikat Mildef International Technologies itu menggunakan enjin tahan lasak, berteknologi tinggi dan mampu bertahan dalam apa jua situasi dengan kebolehan untuk bergerak pantas pada pelbagai bentuk muka bumi dengan kelajuan sehingga 110 kilometer (km) sejam.

Ia berupaya melaksanakan pelbagai misi penting ketenteraan serta memberi perlindungan kepada kru ekoran dilengkapi perisai bawahan Stanag 4569 Level 2B dan perisai badan Stanag 4569 Level 2.

Kenderaan berperisai dengan nisbah kuasa dan berat 24 kuasa kuda/tan itu dilengkapi sistem persenjataan moden bersama grenade launcher.

Penggunaan Sistem Senjata Kawalan Jauh membolehkannya menembak secara 360 darjah semasa bertempur selain memberi keupayaan kepada kru menembak sasaran menggunakan sistem kawalan jauh dengan bantuan skrin paparan agar mereka terlindung sepenuhnya.

Dalam insiden tayar bocor pula, Sistem Inflasi Tayar Berpusat membolehkan pengisian angin ke dalam tayar diakses daripada panel dashboard.

KOS penyelidikan dan pembangunan Tarantula memakan belanja RM16 juta.

Pintu belakang dilengkapi sistem hidraulik, memudahkan pergerakan kru keluar masuk.

Secara umumnya, kenderaan berperisai buatan Malaysia itu memiliki ciri-ciri taktikal yang sesuai dengan aspek geografi dan iklim negara, namun Tarantula HMAV4x4 masih boleh diubah suai dengan mudah bagi memenuhi spesifikasi negara lain yang berminat membeli.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kenderaan berperisai mobiliti tinggi itu dibina menggunakan teknologi dan kepakaran anak tempatan sepenuhnya.

Jelas beliau, kenderaan berperisai itu telah melalui pelbagai penilaian seperti ketahanan di lebuh raya, penggunaan minyak, ujian muatan, kecekapan, ujian mendaki cerun dan banyak lagi.

“Ujian berlangsung selama sembilan hari merangkumi perjalanan sejauh 700 kilometer (km) di atas jalan raya dan 300 km secara off-road termasuk beberapa ujian berhalangan lain.

“Tatacara uji nilai dilaksanakan mengikut piawaian yang telah ditetapkan oleh Tentera Darat Malaysia setanding dengan pelaksanaan di peringkat antarabangsa.

“Nama kenderaan berperisai ini diambil daripada nama Tarantula iaitu kumpulan labah-labah bertaring yang besar,” katanya pada sidang media Majlis Penamaan Kereta Perisai Mobiliti Tinggi 4×4 (HMAV4x4) di Wisma Perwira Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi di sini semalam. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI