fbpx

NSL: Perang strategi Selangor, Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MEI FOONG (kiri) merupakan tonggak utama Johor kerana kemampuannya membuat hantaran tepat manakala Nur Firra (kanan) adalah salah seorang pemain Selangor yang banyak melakukan pintasan pada NSL ini.

PERTEMBUNGAN epik antara Selangor Angels dan Johor Je­wels pada aksi terakhir Kumpulan B Netball Super League (NSL) di Stadium Juara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur esok amat penting buat kedua-dua pasukan.

Pemenang aksi tersebut bukan sahaja mengesahkan status sebagai juara Kumpulan B, malah bakal menentukan hala tuju kedua-dua pasukan pilihan itu pada aksi separuh akhir hujung minggu depan.

Pasukan yang tewas esok dan muncul naib juara Kumpulan B akan menempah laluan sukar kerana bakal membuat perhitungan dengan gergasi bola jaring kebangsaan, Kuala Lumpur (KL) Wildcats sebagai juara Kumpulan A di separuh akhir.

Atas kertas, sukar untuk memilih pemenang kerana Selangor dan Johor di­lihat mempunyai kekuatan sama, selain masing-masing diperkuatkan dengan beberapa tonggak skuad negara yang cukup berpengalaman di ­peringkat antarabangsa.

Ia selepas Selangor dan Johor sebelum ini seri 50-50 sewaktu aksi pusingan pertama selain kedua-dua pasukan terikat jumlah pungutan mata dan perbezaan jaringan yang sama selepas mengharungi empat perlawanan.

Bagaimanapun, kelebihan sedikit memihak kepada Sela­ngor yang mempunyai purata gol yang lebih baik iaitu 1.53 berbanding 1.48 dicatatkan Johor.

Ketua jurulatih Selangor ­Angels, Rosnani Ismail menye­dari hakikat itu dan kini sudah memasang strategi rahsia untuk menewaskan Johor bagi memastikan skuad bimbingannya mara ke separuh akhir sebagai juara Kumpulan B.

“Walaupun perlawanan ini akan menjadi sangat sukar, tetapi pemain-pemain saya sudah dapat membaca corak permai­nan Johor. Kami sebelum ini boleh meraih kemenangan tetapi kesilapan yang dibuat membolehkan Johor bangkit untuk seri.

“Kali ini saya ada kelainan strategi memandangkan kami sudah banyak belajar daripada kesilapan lalu. Pemain perlu memberikan aksi lebih baik daripada empat aksi setakat ini.

“Kami kena menang untuk mendapatkan kedudukan teratas supaya laluan kami akan lebih mudah sewaktu crossing separuh akhir nanti. Apa-apa pun, kami perlu menang ke atas Johor,” katanya.

Bagaimanapun, Rosnani me­ngingatkan barisan pemainnya agar tidak terlalu memberikan fokus kepada Johor kerana mereka masih perlu mencatat kemenangan ke atas Pahang Tulips pada aksi kelima Kumpulan B di Stadium Juara malam ini.

Situasi sama juga perlu ditempuhi Johor kerana wajib menang ke atas Negeri Sembilan Venom hari ini jika mahu menentukan status juara kumpulan esok.

Ketua jurulatih Johor, Faziran Mesnan tentunya berharap Pow Mei Foong dan Nurfariha Abdul Razak meneruskan momentum cemerlang selepas muncul dua daripada lima pemain dengan hantaran paling tepat dalam kejohanan ini.

Begi­tupun, Jo­hor perlu mencari ja­lan agar hantaran bola ke dalam kawa­san D lawan tidak dapat dibaca goal defend Selangor, Nur Firra Syuhada Hasrin yang muncul pemain kedua di NSL yang paling banyak melakukan pintasan dengan keseluruhan 28 kali.

Nur Firra juga merupakan pemain paling banyak dapat memenangi defensive rebound selain Johor perlu menghalang goal shooter prolifik Selangor, An ­Najwa Azizan yang merupakan penjaring terbanyak kejohanan setakat ini dengan 181 gol daripada terus menghasilkan jaringan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI