fbpx
IZREEN AZMINDA

Izreen Azminda hamil empat bulan, idam anak perempuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Selepas berdiam diri mengenai desas-desus kehamilannya, pelakon Izreen Azminda akhirnya mengesahkan dia kini sedang hamil empat bulan anak ketiganya.

Pengesahan tersebut dibuat menerusi satu perkongsian entri dalam Instagramnya sebentar tadi.

“Ya, memang saya hamil empat bulan. Alhamdulillah saya dan bayi dalam kandungan berada dalam keadaan sihat.

“Saya tidak pernah sembunyikan kehamilan. Cuma ini adalah kehamilan ketiga, jadi tidak ada apa yang perlu dihebohkan. Memadai keluarga dan teman rapat sahaja yang tahu.

“Bagi mereka yang sudah menghidu berita gembira ini lebih awal terima kasih atas ucapan dan doa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online.

Tambah pelakon yang popular dengan drama Kerana Terpaksa Aku Relakan itu, selepas memiliki dua anak lelaki, dia mengimpikan untuk menimang cahaya mata perempuan pula kali ini.

“Memang saya berharap untuk mendapat anak perempuan pula, tetapi rezeki semua di tangan Allah.

“Andai dapat anak lelaki juga saya terima dan tetap gembira. Saya hanya mohon doa agar anak dilahirkan dalam keadaan sihat,” kata Izreen.

Kongsi Izreen, 36, kehamilan kali ini dia mempunyai alahan terhadap bau minyak masak selain berasa pening jika menaiki kereta.

“Pada awal kehamilan saya mengalami alahan yang agak teruk  dan tidak boleh bau minyak masak, jadi saya jarang memasak.

“Selain itu saya akan mabuk teruk jika duduk di tempat penumpang ketika menaiki kereta. Oleh itu, lebih baik saya yang memandu untuk mengelak berasa loya.

“Alhamdulillah masuk empat bulan kehamilan semua alahan semakin berkurangan, namun saya memilih untuk keluar rumah jika ada keperluan sahaja memandang pandemik Covid-19 yang masih belum reda,” ujarnya.

Biarpun kehamilan tersebut adalah yang ketiga buat Izreen, tetapi merupakan kandungan kedua hasil perkongsian hidup bersama pemuzik bebas, Muhammad Radzi Abdul Wahid atau dikenali sebagai Ude yang dikahwini pada 8 Ogos 2017.

Menerusi perkahwinan keduanya itu, Izreen dikurniakan seorang anak lelaki, Aaron Ibrahim yang kini berusia dua tahun.

Terdahulu, pelakon kelahiran Perlis itu turut memiliki seorang anak lelaki sulung, Muhammad Adrian Umar, 8, menerusi perkahwinan pertamanya dengan seorang jurukamera, Muhammad Riza Baharudin.

Ude menerusi perkahwinan pertamanya bersama Intan Liana Saleh dikurniakan dua orang anak lelaki, Arish Muqri, 6, dan Ariq Muqri, 5. – K! ONLINE

POPULAR

BERITA BERKAITAN