fbpx

Nicky, Sajat mungkin menyamar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keratan akhbar Kosmo! semalam.

BUKIT KAYU HITAM – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara tidak menolak kemungkinan ahli perniagaan dalam buruan, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee dan usahawan kontroversi, Nur Sajat menyamar individu lain bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Timbalan Komander Briged Utara PGA, Asisten Komisioner Mohd. Noh Khamis berkata, sehubungan itu, pihaknya mengedarkan gambar dua individu tersebut di sepanjang pos kawalan keselamatan di Kedah dan Perlis bagi memastikan mereka tidak bolos ke negara jiran.

“Kita turut memperketatkan kawalan di kawasan sempadan termasuk lorong tikus bagi mengelakkan Nicky dan Sajat lari ke Thailand.

“Pihak berkuasa turut me­ngumpul maklumat mengenai dua individu itu,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

NICKY
SAJAT

Menurut Mohd. Noh, kawalan dan rondaan di lorong tikus di dua negeri di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand diper­tingkatkan bagi memastikan tiada pergerakan keluar masuk secara haram oleh semua pihak termasuk dua individu tersebut.

Nicky yang mengetuai ‘Geng Nicky’ dipercayai terlibat dalam aktiviti jenayah terancang antarabangsa dan pengubahan wang haram.

Sajat atau nama sebenarnya, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman pula dikenakan waran tangkap selepas gagal hadir prosiding sebutan semula kes berpakaian menyerupai wanita di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada Februari lalu.

Sementara itu, di Shah Alam, Timbalan Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, tindakan Sajat menghilangkan diri itu tidak dapat mengelakkan dirinya daripada dibicarakan di mahkamah.

“Sebarang pelanggaran prosedur undang-undang di negara ini termasuk lari daripada perbicaraan akan tetap diambil (dikenakan) tindakan oleh pihak berkuasa.

“Kepada individu (Sajat) ha­dirlah ke mahkamah dan beri kerjasama kepada pihak berkuasa agama negeri untuk menyelesaikan kes bersabit dengannya,” katanya.

Ditanya berhubung pengumuman keluar Islam yang dipercayai dibuat Sajat sebelum ini, beliau menjelaskan usahawan tersebut boleh dikenakan tindakan di bawah peruntukan Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

Kosmo! semalam melaporkan polis tidak menolak kemungkinan Sajat berada di luar negara selepas dikatakan menghilangkan diri sejak waran tangkap ke atasnya dikeluarkan pada 23 Februari lalu.

Nicky pula diletakkan sebagai orang yang dikehendaki oleh pihak berkuasa. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI