fbpx

K2

Claudio bukti kecekalan insan istimewa berjaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
INSAN istimewa ini mula menjalankan aktiviti ceramah motivasi sejak tahun 2000 bagi memberi inspirasi kepada insan lain agar berjaya sepertinya.

SEBAIK dilahirkan, doktor menjangkakan Claudio Vieira de Oliveira tidak akan mampu hidup dalam tempoh 24 jam kerana mengalami pelbagai kecacatan termasuk tangan, kaki dan kepala yang terbalik ke belakang.

Claudio yang menghidap arthrogryposis multiplex congenita sejak dalam kandungan itu diramal tidak mampu untuk hidup kerana mengalami kecacatan luar biasa.

Doktor juga turut berputus asa untuk merawat Claudio dan memberitahu ibunya, Maria Jose agar berhenti memberi bayi lelaki itu makan.

Namun, lelaki itu kini yang berusia 44 tahun membuktikan bahawa ramalan dan sangkaan itu meleset apabila dia mengatasi kekurangan itu hingga menjadi insan berjaya.

Anak kelahiran Monte Santo, Brazil itu merupakan pakar motivasi terkenal yang banyak memberi inspirasi kepada orang ramai di seluruh dunia.

Claudio tidak pernah menyerah kalah dengan kecacatan dialaminya dan bebas mencuba apa sahaja perkara digemari.

“Hidup saya normal sama seperti orang lain dan tidak berasa sukar untuk menjalani rutin seharian.

“Walaupun kepala terbalik, saya tidak mengalami masalah melihat, bernafas, makan dan minum,” ceritanya yang suka melakukan pelbagai aktiviti bersama keluarga dan rakan-rakan pada masa lapang.

MENYEDARI dirinya tidak sesempurna orang lain, Claudio menulis buku autobiografi mengenai dirinya yang boleh dijadikan panduan untuk mencapai kebahagiaan hidup.

Tambah Claudio, keadaan dirinya itu bukan penghalang untuk dia berjaya dan mengejar impian sama seperti orang lain.

Dia telah melancarkan cakera video digital (DVD) ceramah motivasi, menulis buku autobiografi dan menjadi pakar motivasi sejak tahun 2000.

Sejak kecil, Claudio selalu ingin berdikari dan merayu kepada ibu agar membenarkan dia pergi ke sekolah walaupun tidak dapat menggunakan kerusi roda kerana bentuk fizikalnya itu.

Kesungguhannya berdikari telah menguatkan semangat lelaki itu untuk mula berjalan menggunakan lutut pada usia lapan tahun selepas bertahun-tahun didukung rakan dan keluarga.

Lelaki itu juga mengubah suai ketinggian katil, lampu, soket pengecas dan lampu pada kedudukan lebih bawah agar mudah untuknya melakukan sendiri sebarang aktiviti harian.

“Selama bertahun-tahun saya melatih diri untuk menulis, menaip, menggunakan telefon dan mengendalikan komputer dengan menggunakan mulut.

“Ibu banyak mengajar saya membaca dan menulis sejak usia kanak-kanak,” tutur pemegang Ijazah Sarjana Muda Perakaunan di State University of Feira de Santana, Brazil itu.

Claudio turut mempunyai kasut khas untuk memudahkannya bergerak dan bersiar-siar di sekitar bandar.

Ini sekali gus memberinya peluang untuk melakukan pelbagai tugas dengan lebih mudah dan berdikari.

CLAUDIO tidak pernah bergantung kepada bantuan orang lain untuk melakukan sebarang aktiviti yang disukainya.

Perkara itu juga membolehkannya bukan sahaja berjaya di sekolah tetapi memenuhi syarat untuk melanjutkan pelajaran di peringkat universiti.

Dia yang merupakan seorang akauntan berkata, sejak kecil dia suka menyibukkan diri dengan melakukan pelbagai pekerjaan dan tidak suka bergantung dengan orang lain.

“Saya melakukan tugasan perakaunan, penyelidikan dan perundingan untuk pelanggan.

“Saya belajar menghidupkan televisyen, menjawab panggilan telefon, menghidupkan internet dan melayarinya di komputer yang mana semuanya dilakukan sendiri,” ujarnya.

Sementara itu ibunya, Maria berkata, kisah kejayaan Claudio lebih mengagumkan berbanding masa depan yang suram diramalkan oleh doktor suatu ketika dahulu.

“Ramai orang mengatakan bayi ini akan mati kerana dia hampir tidak dapat bernafas ketika dilahirkan.

“Tetapi saya yakin dia akan membesar dengan sihat dan tidak akan sesekali berputus asa untuk memastikannya terus kuat,” ujarnya.

Jelas Maria, sebagai ibu, hatinya hancur apabila ada yang berkata, ‘jangan bagi dia makan kerana dia sudahpun mati’, tetapi lihatlah Claudio sekarang.

Keluarga melayannya seperti insan normal lain dan membenarkan dia melakukan apa sahaja aktiviti disukai.

“Kami sentiasa memberi sokongan untuknya melakukan apa jua perkara sama seperti orang lain.

“Oleh kerana itu, dia mempunyai keyakinan tinggi dan tidak malu berjalan-jalan, menyanyi serta menari,” katanya.

Dalam pada itu, Claudio memberitahu, dia berasakan dirinya normal dan boleh menyesuaikan keadaan badan itu dengan dunia.

BIARPUN cacat, Claudio masih boleh makan, minum dan melihat seperti insan normal.

Dia juga bangga kerana kekurangan diri itu dapat memberi motivasi kepada orang ramai untuk hidup lebih positif dan bahagia.

“Ramai yang menyatakan kegembiraan mereka selepas mendengar ceramah motivasi saya.

“Saya telah menerima jemputan untuk menyampaikan motivasi di seluruh dunia,” tuturnya.

Bercerita lanjut mengenai kerjayanya sebagai pakar motivasi, Claudio memberitahu, dia sangat rindu memberi ceramah setelah terpaksa berhenti hampir setahun ekoran Covid-19.

“Saya sangat rindu untuk memberi ceramah dan pada 28 April ini saya telah menerima jemputan, semoga semuanya berjalan lancar.

“Saya doakan pandemik ini cepat berakhir dan kita dapat menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya yang juga merupakan sukarelawan untuk projek pendidikan Alegra-te Christian untuk kanak-kanak yang kurang bernasib baik.

Mengulas lanjut mengenai kecacatan dialami oleh Claudio itu, Johns Hopkins Medicine, Amerika Syarikat menyatakan arthrogryposis multiplex congenita adalah istilah yang digunakan untuk menggambarkan pelbagai keadaan melibatkan sendi kaku sehingga menurunkan tahap keupayaan bergerak.

KELUARGA yang paling banyak memberikan sokongan dan harapan kepada Claudio untuk terus berdaya maju dalam hidup di sebalik kecacatan dialaminya.

Ia selalunya melibatkan sendi tangan dan kaki yang bengkok semasa kelahiran.

Ahli perubatan percaya, penghidap akan mengalami banyak pengecutan sendi kaki dan tangan yang tidak akan membesar dengan baik.

Setakat ini, pusat perubatan di dunia masih tidak mempunyai rekod yang jelas tentang berapa ramai orang yang mempunyai kecacatan sedemikian.

Walaupun begitu, ada mengatakan ia terjadi kepada satu daripada 3,000 kelahiran.

Punca terjadinya kecacatan itu masih belum diketahui, tetapi ia dipercayai disebabkan ruang yang tidak mencukupi untuk bayi tinggal di dalam rahim dan cecair amniotik yang rendah.

Walaupun tiada penawar untuk kecacatan itu, tetapi ada kaedah gerakan yang boleh meningkatkan kemampuan penghidapnya untuk bergerak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI