fbpx

Jatuh tingkat tujuh ketika lari dari polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang lelaki warga Indonesia melarikan diri daripada pihak polis akhirnya bertukar tragedi apabila dia ditemui maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tujuh sebuah pangsapuri di Jalan Ipoh di sini 30 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kira-kira pukul 12.50 tengah hari sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul telah menahan seorang lelaki tempatan di sebuah kawasan perumahan di Jalan Ipoh menerusi Ops Tapis.

“Penahanan lelaki berusia 42 tahun itu adalah bagi membantu siasatan selepas disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan dia juga didapati positif dadah jenis amphetamine serta methamphetamine namun pemeriksaan lanjut tidak menemui sebarang dadah padanya.

“Maklumat daripada suspek seterusnya membawa pihak polis ke sebuah rumah di Jalan Ipoh kira-kira pukul 12.58 tengah hari, hari yang sama namun pasukan serbuan mendapati pintu rumah berkunci dan terlihat seorang lelaki melarikan diri ke dalam bilik tidur,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Menurut Eng Lai, selang beberapa minit kemudian seorang wanita warga Indonesia telah keluar dari bilik berkenaan lalu menyerahkan kunci rumah kepada pihak polis dan pemeriksaan yang dilakukan tidak menemui lelaki tersebut di dalam bilik namun tiga keping cermin tingkap nako di bilik itu didapati telah ditanggalkan.

“Pemeriksaan lanjut telah menemui satu keratan plastik lutsinar berisi bahan yang disyaki dadah jenis metamphetamine dianggarkan seberat 0.27 gram di ruang tamu rumah tersebut.

“Pencarian pihak polis telah membawa kepada penemuan lelaki yang melarikan diri itu di lantai bahagian belakang bangunan berkenaan dalam keadaan terlentang dan dipercayai telah meninggal dunia akibat terjatuh dari tingkat tujuh,” jelas beliau.

Tambah Eng Lai, semakan mendapati suspek merupakan lelaki warganegara Indonesia berusia dalam lingkungan 36 tahun dan pemeriksaan telah menemui alat untuk menghisap dadah dan satu peket dadah di dalam poket seluar suspek.

“Wanita Indonesia berkenaan telah ditahan serta dibawa ke IPD Sentul untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini boleh menyalurkannya ke Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999, Hotline Polis Sentul di talian 03-4048 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI