PETALING JAYA – Kaki penipu ada di mana-mana dan golongan ini sentiasa menunggu masa untuk memperdaya orang ramai jika ada peluang dan ruang.
Demikian yang terjadi kepada peminat emas yang berkemungkinan telah terbeli logam tungsten dan aluminium yang disaluti emas pada harga ‘kayangan’ walhal nilai dua bahan itu hanyalah RM100 untuk 20 gram.
Penipu lebih ghairah apabila ketika ini ramai menyerbu kedai emas atau membelinya secara online ekoran kejatuhan harga pasaran dunia dan pengeluaran besar-besaran i-Sinar oleh pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.
Tungsten biasanya digunakan untuk menghasilkan filamen lampu, tiub televisyen serta batu ladung untuk memancing. Tungsten digunakan kerana ketumpatannya hampir menyamai emas.

Metrologis Kanan Institut Metrologi Kebangsaan (NMIM), Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) Berhad, Dr. Mohd. Fazrulhisyam Mohd. Nor berkata, penipuan melibatkan logam tungsten dalam barangan kemas sangat popular ketika ini.
NMIM merupakan sebuah badan yang menjaga standard pengukuran ketulenan emas di Malaysia dan ia termaktub dalam Akta Sistem Pengukuran Kebangsaan 2007 (Akta 675).
“Biasanya ia melibatkan perhiasan diri dan bar yang kualiti emasnya sehingga 99.9 peratus. Biasanya logam itu akan disaluti dengan emas tulen di luar plate atau jenis emas hiasan seperti rantai atau gelang.
“Magnet dan alat densimeter yang biasa digunakan oleh tauke kedai emas tidak mampu mengesan kehadiran tungsten yang disaluti emas,” kata Mohd. Fazrulhisyam kepada Kosmo! ketika ditemui baru-baru ini.

Tambahnya, densimeter ‘mudah’ tertipu dengan tungsten contohnya jika ketumpatan emas 22 karat (k), apabila tungsten yang hanya disaluti emas diletakkan di atas alat itu, bacaan tungsten itu juga 22k.
“Jika bar tersebut beratnya 10 gram atau lebih, harga sudah tentu mencecah puluhan ribu ringgit, tetapi apabila ‘emas’ yang mereka beli itu hanyalah tungsten, nilainya hanyalah sekitar ratusan ringgit sahaja,” katanya.
Menurut beliau, setakat ini sebanyak enam sampel telah dihantar oleh pihak pajak gadai ke makmal SIRIM dan lima daripada sampel itu mengandungi tungsten, manakala satu lagi mengandungi aluminium.
“Selepas diuji, barangan kemas itu mengandungi 80 peratus bahan bukan emas,” katanya.
Ujar Mohd. Fazrulhisyam, kebiasaannya mereka menggunakan alat X-Ray Fluorescence (XRF), Precious Metal Verifier (PMV), densimeter dan pen elektronik untuk mengukur ketulenan emas.
Katanya, XRF mengukur ketulenan emas melalui pancaran sinar-x terhadap barang gadaian dan ia mampu memberi bacaan ketulenan emas yang tepat pada cincin, gelang dan rantai.
“Ia juga sangat mudah dan pantas serta tidak merosakkan barang gadaian yang diuji. PMV pula hanya mampu mengukur ketulenan emas untuk jongkong dan syiling sahaja, manakala pen elektronik mengesan arus pada permukaan emas.
“Densimeter pula menggunakan kaedah ketumpatan dan harganya murah serta mampu untuk mengukur ketulenan emas bagi barangan pelbagai bentuk seperti rantai, cincin dan gelang dengan memaparkan nilai ketulenan emas dalam unit karat seperti 24k, 22k dan 18k,” jelasnya.














