fbpx

Di mana mereka?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nicky, Eu Boon dan Sajat kini menjadi buruan pihak berkuasa atas kesalahan masing-masing.

KUALA LUMPUR – Dalam beratus orang yang dicari, tiga individu kini menjadi tumpuan pihak berkuasa tempatan kerana mempunyai waran tangkap ekoran gagal hadir ke mahkamah dan terlibat dengan kes jenayah ko­mersial terbesar di negara ini.

Mereka ialah usahawan kos­metik kontroversi, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman, 36, pe­ngasas Sugarbook, Chan Eu Boon, 34, dan ketua sindiket pe­ngubahan wang haram terbesar, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee, 33.

Ketiga-tiga mereka ini dicari kerana sehingga kini pihak berkuasa masih belum menemui mereka sama ada kekurangan maklumat mahupun ada tali barut yang memberi maklumat mengenai operasi yang dilakukan.

Muhammad Sajjad atau dikenali sebagai Sajat dicari Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) selepas Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor mengeluarkan waran tangkap ekoran kegagalannya hadir pada prosiding sebutan semula kerana berpa­kaian wanita di khalayak ramai.

Eu Boon pula dikenakan waran tangkap selepas gagal hadir sebutan semula kes di Mahkamah Majistret Shah Alam atas pertuduhan mendatangkan kegusaran kepada orang awam.

Ini bertentangan dengan ke­nyataannya sebelum ini yang mengatakan: “Saya bersedia memberikan kerjasama penuh kepada polis bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mahasiswa di Lembah Klang menggunakan Sugarbook bagi mencari sugar daddy.”

Nicky pula dicari kerana menjadi ketua penjenayah komersial terbesar negara. Kumpulan itu berjaya dilumpuhkan baru-baru ini, namun Nicky berjaya lolos kerana ada tali barut dalam pa­sukan polis yang membocorkan maklumat itu kepadanya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, usaha mengesan Nicky masih giat dijalankan walaupun berjaya menangkap anggota sindiket termasuk adiknya di sekitar Lembah Klang.

“Dia dipercayai masih berada dalam negara,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman semalam.
Abdul Hamid berkata, Geng Nicky juga bahaya kerana disyaki melantik gengster sebagai pengawal peribadi.

“Saya dimaklumkan sindiket ini buas serta ganas kerana me­lakukan tindakan memukul, mengugut pekerja-pekerjanya yang didapati cuba keluar daripada kegiatan sindiket mereka.

“Hampir kesemua aset yang diperoleh juga dibeli secara tunai untuk mencuci wang haram,” katanya yang menganggarkan aset Nicky bernilai RM1 bilion merangkumi saham, hartanah, mata wang digital dan wang tunai.

Dalam pada itu, Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, usaha memburu Sajat tidak terhenti dan tiada tempoh masa ditetapkan untuk memberkasnya.

“Kita ada pergi ke rumahnya dan tanya ibu bapanya, namun mereka tidak tahu. Kita yakin akan menangkapnya nanti.

“Dia yang menghilangkan diri bukan kami. Dakwaan dia (menerusi video di Instagram) pihak berkuasa tidak mencarinya tidak tepat. Kita ada, dia yang hilang,” katanya.

Tambahnya, MAIS mengambil serius berhubung waran tangkap itu walaupun tidak meletakkan ranking ke atas kes tersebut.

“Saya yakin dia akan sedar dan datang sendiri. Kita bincang untuk kebaikan diri dia dan agama Islam. Islam itu adil dan bukan hendak terus aniaya seseorang, datanglah apa nak takut.

“Jabatan Agama Islam Se­langor dan Polis Diraja Malaysia sentiasa bekerjasama untuk menyelesaikan apa kes sekalipun termasuk berkaitan Muhammad Sajjad,” katanya.

Sajat dikenakan waran tangkap sejak 23 Februari oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini selepas gagal hadir prosi­ding sebutan semula pertuduhan berpakaian menyerupai wanita sehingga menyebabkan agama Islam dipandang hina.

Abdul Hamid menunjukkan sebahagian kereta yang dirampas daripada Geng Nicky sambil diperhatikan Ayob pada sidang akhbar di Bukit Aman semalam.

 

Nicky lolos sebab pegawai tali barut

KUALA LUMPUR – Tindakan polis Johor menggerakkan 220 pegawai dan anggotanya untuk menyiasat secara mendalam sindiket Geng Nicky berjaya membongkar penglibatan jahat mereka dalam jenayah komersial terbesar di negara ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pembongkaran bermula apabila polis Johor menyiasat kes penipuan jual beli telefon bimbit secara online di negeri itu sehingga dapat mengenal pasti dalangnya dikenali sebagai Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee menerusi Ops Pelican 3.0.

Katanya, operasi selama sembilan hari bermula 20 Mac lalu di Lembah Klang berjaya melumpuhkan Geng Nicky yang aktif sejak 2014.

“Sebanyak 70 serbuan dilakukan bagi mengesan dan menangkap anggota Geng Nicky yang berpusat di sebuah pusat beli-belah di Puchong, Selangor. Seramai 118 individu telah diperiksa.

“Dalam operasi itu, kita menahan 48 individu di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Akta Imigresen (12) dan narkotik (8),” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman semalam.

Hadir sama, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Menurut Abdul Hamid, selain tangkapan, polis turut merampas sepucuk pistol jenis Glock 17 beserta satu kelopak berisi sembilan butir peluru.

Tambahnya, pihaknya turut merampas sejumlah matawang RM773,145 serta 16 kenderaan mewah bernilai RM6.67 juta.

“Sebanyak 41 akaun me­ngandungi RM4 juta serta 35 kenderaan bernilai RM8,863,759 melibatkan 21 individu dan 16 entiti Yayasan Winner Emperor Sedunia dan Pertubuhan Integriti Nicky Liow Malaysia telah dibekukan di bawah Seksyen 44(1) AMLATFPUAA 2001,” katanya.

Ujar Abdul Hamid, operasi itu dilancarkan susulan maklumat yang diperoleh polis Johor pada Januari lalu selepas Ops Pelican 2.0 melibatkan Macau Scam yang menggunakan akaun tumpangan dan transaksi wang milik Winner Dynasty Group.

“Kita juga mendapati seramai 34 pegawai dan anggota agensi penguat kuasa dan beberapa orang kenamaan mempunyai hubungan dengan sindiket tersebut. Meraka akan ditangkap kelak,” katanya.

Dalam pada itu, Ayob Khan mendedahkan, operasi me­nyerbu sindiket itu telah dibocorkan oleh seorang pegawai seminggu awal menyebabkan suspek utama berjaya lolos.

“Akibat daripada kebocoran itu, dia berjaya memindahkan sejumlah besar wang keluar daripada premis-premis mereka. Kita yakin dia masih berada dalam negara ini walaupun berjaya lari ketika serbuan itu,” katanya.

Abdul Hamid (tengah) menunjukkan sebahagian barangan yang dirampas daripada Geng Nicky pada sidang akhbar di Bukit Aman semalam.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI