fbpx

Saya bukan maksum, tak terlepas melakukan dosa – Syed Iqmal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SYED IQMAL

PETALING JAYA – “Saya bukan nabi, bukan juga seorang wali, tetap melakukan dosa dan sebagainya. Tetapi tetap ada cita-cita untuk memberikan kebaikan kepada orang.

“Kalau orang tengok kita salah sikit, terus dilabel tunggang agama. Walhal apa yang saya katakan itu datang dari diri untuk menyebarkan elemen positif.”

Begitulah komen pendakwah bebas, Syed Iqmal apabila menjawab dakwaan mengatakan dia ‘menunggang agama’ bagi mengaut keuntungan bisnes yang diusahakannya ketika ini.

Tegas Syed atau nama penuhnya Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful, 26, perkongsian yang dilakukannya adalah mengenai pengetahuan agama yang dipelajari dan berhasrat untuk menyelitkan dakwah sambil berhibur.

“Saya masih mengekalkan nama da’i kerana membawa maksud dakwah. Setiap individu berdakwah dengan cara masing-masing.

“Wartawan, penyanyi, peniaga dan semua orang ternyata mempunyai cara tersendiri untuk berdakwah. Peranan tersebut bukan hanya terhad dengan tazkirah dan ceramah semata-mata sebaliknya disebarkan menerusi kebaikan,” katanya.

Syed ditemui pada majlis pelancaran produk Asyedap Salted Caramel Chocholate Cooking yang bertempat di Bangi Resort Hotel, Bandar Baru Bangi, Selangor baru-baru ini.

Berhasrat melebarkan sayap perniagaan secara aktif, pendakwah yang juga merupakan seorang penyanyi itu menjelaskan dia sudah mula berjinak-jinak menceburkan diri dalam bidang berkenaan sejak dahulu.

“Sejak tahun 2017 lagi saya sudah mula meniaga biskut yang dibuat oleh mama. Ketika hadir memberi ceramah dan sebagainya, saya bawa bersama. Alhamdulillah, sebelum pelancaran sudah 12,000 unit terjual.

“Saya juga mempunyai perancangan untuk melebarkan sayap ke Singapura, Brunei dan Thailand namun perlu melalui beberapa prosedur dahulu. Buat masa ini, ejen dan stokis ada di seluruh negeri bagi memudahkan urusan perniagaan Asyedap,” kata Syed. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI