fbpx

PNB umum pembayaran agihan pendapatan lima dana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Permodalan Nasional Bhd. (PNB) melalui syarikat pengurusan unit ama­nah milik penuhnya, Amanah Saham Nasional Bhd. (ASNB), mengumumkan pembayaran pengagihan pendapatan berjumlah RM1.55 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2021 untuk lima dana.

Dana tersebut adalah Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB 2) dan Amanah Saham Malaysia (ASM) beserta tiga dana harga berubah iaitu ASN Equity 3, ASN Imbang 2 dan ASN Sara 1.

Menurut ASNB, pembayaran pengagihan pendapatan bagi ASB 2 berjumlah RM488.2 juta yang memanfaatkan 459,416 pemegang unit dengan pegangan 11.5 bilion unit.

ASM pula mengisytiharkan pembayaran pengagihan pendapatan berjumlah RM851.2 juta yang memanfaatkan 559,222 pemegang unit dengan pegangan 21.3 bilion unit.

“Sehingga 25 Mac lalu, ASB 2 mencatatkan pendapatan bersih direalisasi sebanyak RM499 juta, manakala ASM mencatatkan pendapatan bersih direa­lisasi sebanyak RM727.6 juta,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, bagi ASN Equity 3, ASN Imbang 2 dan ASN Sara 1 masing-masing mencatat pula­ngan dua digit sebanyak 18.7 pe­ratus, 17 peratus dan 10.8 peratus.

Terang ASNB, dalam tempoh sama, FBM KLCI mengukuh kepada 1,598 mata daripada 1,351 mata ekoran peningkatan sentimen pelancaran program vaksinasi di peringkat global dan jangkaan pemulihan ekonomi global.

Melalui pulangan tersebut, dana harga berubah mengisytiharkan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak RM76.4 juta bagi ASN Equity 3, iaitu 3.53 sen seunit kepada 86,306 pemegang unit dengan pegangan 2.2 bilion unit.

BATU PAHAT 19 APRIL 2018. Pengunjung, Afidah Ahmad (dua dari kanan) menggunakan perkhidmatan kiosk ASNB ketika Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2018 di Stadium Batu Pahat. NSTP/ASYRAF HAMZAH

Bagi ASN Imbang 2 mengisytiharkan pengagihan pendapatan sebanyak RM45.4 juta iaitu 3.11 sen seunit kepada 85,147 peme­gang unit dengan pegangan 1.5 bilion unit.

ASN Sara 1 pula mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak RM91.8 juta, iaitu 3.52 sen seunit kepada 85,776 pemegang unit dengan pegangan 2.6 bilion unit.

“Pengagihan pendapatan yang diisytihar oleh dana-dana ini diperoleh daripada keuntungan dana yang direalisasi, dividen dan pendapatan-pendapatan lain.

“Pendapatan daripada pela­buran antarabangsa untuk setiap dana meningkat dengan ketara antara 40 peratus hingga 52 peratus daripada jumlah pendapatan sehingga kini dalam tahun kewangan semasa.

“Ini mencerminkan impak positif hasil daripada inisiatif kepelbagaian yang dilaksanakan oleh dana-dana tersebut,” jelas­nya.

Mengulas lanjut, ASNB me­nerangkan, pihaknya akan terus kekal fokus terhadap pelaksa­naan pelan strategiknya dalam membina portfolio yang mampan dan berdaya tahan daripada segi kewangan.

Pengiraan pengagihan pendapatan bagi ASB 2 dan ASM dibuat berdasarkan purata baki bulanan minimum yang dipegang sepanjang tahun kewangan bagi setiap dana.

Pengiraan pengagihan pendapatan bagi ASN Equity 3, ASN Imbang 2 dan ASN Sara 1 pula adalah berdasarkan kepada baki minimum bulanan yang dipegang pada hujung tahun.

Pengagihan yang diisytiharkan oleh dana-dana ini akan dilaburkan semula sebagai unit tambahan ke dalam akaun pemegang unit dan akan dikreditkan secara automatik ke dalam akaun peme­gang unit pada 1 April.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI