fbpx
MIROLE dan NUR AMIRUL

Mirole pasang hajat besar pada final

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERAMAI lapan pemain permainan video FIFA 2021 negara telah melayakkan diri ke pusingan akhir kejohanan Malaysia Esports Series (MES) 2021 selepas berjaya mengharungi pusingan kelayakan yang berlangsung secara atas talian semalam.

Pegawai Teknikal MES, Nur Amirul Afandi berkata, sesi kelayakan pertama yang berlangsung selama dua hari itu berjalan lancar dengan lapan pemain telah meraih tiket ke pusingan akhir.

“Lapan pemain ini akan bertanding pada pusingan akhir yang akan berlangsung pada 9 April depan. Saingan dan semangat kesukanan yang dipamerkan oleh mereka cukup tinggi dan saya pasti ramai tidak sabar untuk saksikan pusingan akhir nanti.

“Namun, sebelum itu kita akan mengharungi pusingan kelayakan kedua yang akan berlangsung pada 3 dan 4 April ini yang mana lapan lagi pemain terbaik akan melengkapkan senarai 16 pemain keseluruhan untuk aksi final nanti,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Sementara itu, salah seorang pemain yang berjaya meloloskan diri ke pentas final, Mohamad Amirul Asyraf Padzilan yang lebih mesra dengan gelaran Mirole mengakui berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan sepanjang aksi kelayakan kali ini.

Pada aksi pusingan 16 terbaik semalam, Mirole yang merupakan pemain profesional bersama Team FIFA Gamestop Malaysia berjaya menewaskan lawannya, Maxnavis dengan kemenangan 1-0.

“Selepas mendapat kemenangan bye semalam (kelmarin), saya akui agak berdebar untuk mengharungi perlawanan pertama kali ini dan saya gembira halangan tersebut berjaya dilepasi.

“Apa yang pasti, saya tidak boleh mendabik dada dan perlu fokus berlatih sebelum mengharungi aksi pusingan akhir pada 9 April nanti.

“Secara jujur, saya berharap dapat menjuarai kejohanan MES kali ini tetapi saya tidak boleh pandang mudah kerana lawan yang akan berentap pada pusingan akhir nanti cukup mencabar,” katanya.

POPULAR