fbpx
Ayob Khan menunjukkan gambar suspek yang diberkas selepas disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah di IPK Johor, Johor Bahru, hari ini. - Foto RAJA JAAFAR ALI

Baru seminggu operasi sudah kena cekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Baru seminggu beroperasi, sebuah rumah di Iskandar Puteri, dekat sini yang dijadikan tempat menyimpan pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM347,000 diserbu polis pada Khamis lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 4 petang itu, polis menahan seorang lelaki berusia 31 tahun.

Beliau berkata, dalam serbuan tersebut, pihaknya merampas dadah jenis syabu sebanyak 9.17 kilogram (kg) dan ketamin seberat 176.54 gram.

“Modus operandi kegiatan pengedaran dadah ini adalah dengan menyewa rumah jenis berpagar dan berpengawal untuk dijadikan tempat menyimpan dadah.

“Hasil siasatan yang dijalankan bahagian Siasatan Jenayah Narkotik daerah Iskandar Puteri mendapati hampir seminggu rumah itu dijadikan tempat menyimpan dadah.

“Dengan tertangkapnya suspek ini, polis berjaya merampas dadah jenis syabu dan ketamin bernilai lebih RM347,000,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Dalam serbuan itu, polis turut menyita sebuah kereta yang digunakan suspek.

Katanya, suspek telah ditahan reman selama tujuh hari bermula tarikh tangkapan sehingga Rabu ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Sejak awal tahun hingga 25 Mac lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor telah membuat tangkapan seramai 3,363 orang atas pelbagai kesalahan dadah.

“Dalam tempoh yang sama telah berjaya membuat rampasan dadah lebih enam tan dengan nilai rampasan keseluruhan bernilai RM335 juta,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN