PENGGUNA Lebuhraya Sungai Besi yang sering melalui kawasan sekitar Seri Kembangan, Selangor pasti pernah melihat kewujudan sebuah kapal terbang asli di tepi jalan.
Pesawat jenis Boeing 737 yang terletak berhampiran hotel Palace of the Golden Horses itu kelihatan cukup usang dan tidak menarik disebabkan catnya yang kian luntur.
Bagaimanapun, sejak awal bulan ini pesawat tersebut mula berubah wajah dan mencuri perhatian ramai selepas diberi nafas baharu.
Keseluruhan badan pesawat itu telah dicat warna hijau lembut serta dihiasi mural potret ketua negara iaitu Seri Paduka-Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong berserta bangunan ikonik di sekitar Mines Resort City.
Pihak yang bertanggungjawab terhadap perubahan drastik itu ialah syarikat kreatif, Tokang Art Empire (TAE) yang bertindak mengecat serta melukis mural pada badan kapal terbang berkenaan.
Pemilik TAE, Mohd. Rushdi Ahmad, 32, berkata, pihaknya sangat teruja kerana diberi tanggungjawab dan kepercayaan untuk menghasilkan mural di atas badan kapal terbang.
“Saya sangat gembira selepas berjaya mendapat projek ini. Ia satu penghargaan kepada kami apabila berpeluang berkarya di atas badan kapal terbang.
“Sebelum ini, kami banyak menghasilkan mural pada dinding bangunan. Pastinya, melukis di atas badan pesawat menghadirkan pengalaman baharu,” ujarnya ketika ditemu bual K2 baru-baru ini.

Untuk makluman, pesawat tersebut asalnya merupakan Plane in The City yang terletak di Jalan Imbi, Kuala Lumpur sebelum dibeli jutawan yang juga pemilik Mines Resort City, Tan Sri Lee Kim Yew.
Pesawat ini ditempatkan di salah satu aset milik Kim Yew berhampiran hotel Palace of the Golden Horses untuk dibangunkan menjadi daya tarikan baharu di kawasan tersebut.
Menurut Mohd. Rushdi, setiap mural potret dan pemandangan di atas badan pesawat itu dilhamkan sepenuhnya oleh Kim Yew yang merupakan seorang yang terkenal dengan semangat patriotiknya.
“Kim Yew seorang yang sangat cintakan tanah air. Beliau sentiasa berusaha untuk memaju dan mengharumkan nama negara di mata dunia. Jadi, tidak hairanlah beliau mahukan imej-imej kebanggaan negara pada pesawat ini,” katanya.
Antara imej diabadikan di sebelah kanan pesawat termasuklah potret Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta 16 orang bekas yang Yang di-Pertuan Agong sebelum ini.
Turut diletakkan adalah potret Ratu Elizabeth II yang sering mendiami hotel Palace of the Golden Horses setiap kali melawat negara ini serta beberapa logo acara peringkat antarabangsa yang diadakan di situ.
Sementara di kiri pesawat terdapat potret Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin yang menjadi simbol negeri lokasi Mines Resort City.
Di bahagian tersebut juga terdapat lukisan bangunan ikonik milik Kim Yew iaitu Excel di Britain, ibu pejabat The Mines, kuda, pokok Podocarpus, bunga raya serta orang berlari dan berbasikal.

Pada bahagian sayap pula terdapat mural naga berwarna merah di sebelah kiri dan burung phoenix di sebelah kanan yang menjadi simbol kepercayaan masyarakat Cina.
Terang Mohd. Rushdi, setiap potret dan imej yang diketengahkan pada badan pesawat berkenaan mengandungi makna tersirat dan simbol tertentu kepada Kim Yew.
“Misalnya, pokok Podocarpus banyak terdapat di Mines Resort City. Pokok ini dipercayai mengeluarkan oksigen dan ion positif lebih banyak daripada pohon lain.
“Bahagian atas kapal terbang tersemat ayat patriotik, ‘Best Medicine for Malaysian is Rukun Negara’. Ungkapan ini sering dilafazkan oleh Kim Yew sendiri,” katanya.
Proses menghasilkan mural itu bermula pada pertengahan Disember lalu dan siap sepenuhnya pada awal Mac dengan mengambil masa selama 45 hari.
Ia dihasilkan oleh dua orang pelukis tetap serta enam pelukis sambilan termasuk daripada Art Battalion yang dijemput mengikut kepakaran dan keperluan semasa.
Ujarnya, mural tersebut dihasilkan menggunakan hampir 30 tin cat minyak lima liter yang mempunyai ketahanan jaminan menjangkau tempoh enam tahun.

Terangnya, proses menghasilkan mural pada pesawat itu bermula dengan proses melakar objek dengan bantuan pemancar cahaya projektor sebelum proses melukis dan mewarna dilakukan.
“Melukis dan mewarna mural di atas badan kapal terbang sangat mencabar kerana strukturnya yang melengkung dan tidak rata seperti dinding. Jadi, kami perlu lukis dengan teliti,” katanya.
Salah seorang pelukis TAE, Muhammad Syafiq Kholid, 29, berkata, sepanjang melukis dan mewarna mural di badan kapal terbang dia terpaksa melawan perasaan gayat.
Jelasnya, dia terpaksa berdiri di atas skylife pada ketinggian hampir 20 meter untuk melukis dan mewarna di bahagian ekor pesawat.
“Selain ketinggian, kami juga berdepan kesukaran untuk melukis di bahagian bawah sayap kerana terpaksa mendongak sehingga ada ketikanya cat masuk ke dalam mata,” ujarnya.
Muhammad Syafiq memaklumkan, rintangan juga datang dari aspek cuaca yang tidak menentu akibat daripada Monsun Timur Laut yang membawa hujan lebat pada sebelah petang. Jelasnya, dia perlu mengeringkan permukaan kapal terbang selepas hujan reda untuk membolehkannya meneruskan kerja mengecat.
“Kami memulakan kerja seawal pukul 9 pagi dan berakhir pada 10 malam. Pada tengah hari, kami perlu berdepan bahang panas manakala sebelah petang hujan pula turun. Ia betul-betul menguji ketahanan dan kesabaran kami sebagai pelukis,” katanya.
Cerita pemuda kelahiran Sungai Petani, Kedah itu lagi, salah satu kesukaran menghasilkan mural wajah individu adalah untuk memastikan kelihatan seperti realiti. Ujarnya, perkara tersebut penting bagi memastikan masyarakat tidak mengecam atau melontarkan komen negatif kepada pelukis selepas mural tersebut siap kelak.
Kapal terbang mural tersebut dijangka dibuka secara rasmi untuk kunjungan pelawat dalam tempoh terdekat selepas kawasan landskap sekitar siap sepenuhnya.














