fbpx
GAMBAR HIASAN

MN atau PH terkubur?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
MOHD. RASDAN AHMAD, WARTAWAN EKSEKUTIF

PERHIMPUNAN Agong UMNO (PAU) 2021 yang bakal membuka tirai pada Sabtu ini merupakan satu perhimpunan yang dilihat ‘pepat di luar, runcing di dalam’ terhadap parti Melayu itu.

Penularan Covid-19 boleh dijadikan satu alasan kukuh mengapa PAU kali ini agak ‘he­ning’, namun pelbagai keputusan yang menjadi tanda tanya ramai mungkin akan dirungkai selepas sahaja PAU berakhir pada keesokan harinya.

Terlampau banyak spekulasi yang timbul sejak kebelakangan ini, antaranya mengenai gabu­ngan politik yang bakal UMNO pi­lih sama ada bersama Muafakat Nasional (MN) mahupun dengan gabungan lain.

Pemilihan yang bakal dibuat oleh akar umbi UMNO kali ini akan memberi gambaran sebenar apakah pegangan yang bakal mereka lakukan sebelum berlakunya Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti.

Biarlah tarikh PRU-15 masih menjadi tanda tanya tetapi adakah PAU 2021 ini adalah perhimpunan terakhir sebelum Pilihan Raya Umum itu diadakan.

Pelbagai andaian bakal berlaku sama ada keputusan UMNO untuk menolak PN selepas pembubaran Parlimen, UMNO perlu pastikan keputusan untuk kekal bersama PN sehingga tempoh masa tersebut tidak akan memberi impak negatif kepada parti.

Begitu juga dengan kerjasama dalam MN kerana keakraban hubungan bersama Pas seolah-olah tiada, tidak seperti yang ditangisi oleh ahli kedua-dua parti ketika permuafakatan tersebut diumumkan selepas PRU-14 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sebelum ini.

Kemungkinan juga akar umbi UMNO sedang menunggu Pas membuat keputusan untuk menarik diri menerusi MN memandangkan kesannya cukup besar bakal berlaku dalam kala­ngan pengundi Melayu-Islam.

Desas desus mengenai ke­nyataan yang dikeluarkan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan tidak mustahil partinya itu akan bergabung dengan UMNO.

Dalam satu wawancara baru-baru ini, ‘seperti kelip terbang malam’ Ahli Parlimen Port Dickson itu mendedahkan memang ada perbincangan yang dijalankannya untuk ke arah penggabungan bersama UMNO.

Anwar ketika satu sidang akhbar berkata, “ini baru di peringkat awal, namun ada perkemba­ngan positif.”

Jelas Anwar lagi, walaupun perbincangan kerjasama tersebut masih awal, namun ada ba­nyak persefahaman dan prinsip perjuangan kedua-dua parti itu.

“Ini satu permulaan yang baik. Ada ahli parlimen UMNO yang sokong dan ada juga yang tidak suka. Saya harap perbincangan kerjasama ini berterusan,” jelasnya.

Penjajaran politik tersebut sudahpun berlaku, namun jika sedang bergerak ke arah gabu­ngan, semestinya pelbagai syarat kerjasama akan dibuat.

Syarat yang bakal dibuat boleh mempengaruhi pilihan serta­ sikap kepimpinan kedua-dua parti­ itu ke atas usaha kerjasama tersebut melainkan ada mukhlis dalam berpolitik.

Yang menarik boleh diperkata, adakah ini akan membawa kepada­ berakhirnya Pakatan Harapan (PH) jika syarat yang bakal dibuat adalah tanpa DAP dan Amanah, adakah akan timbulnya pemim­pin yang kecewa dengan kerjasama itu?

Realiti ketakutan pengundi Melayu tidak ingini iaitu kemungkinan undian tiga penjuru sekiranya kerjasama tidak berlaku kerana UMNO bergerak solo.

Setiap keputusan yang bakal dilakukan janganlah kerana gejolak hati yang inginkan pangkat dan kuasa, buatlah keputusan melalui kata hati membela nasib rakyat seperti yang dilaung sejak enam dekad pemerintahan UMNO. Apa pun yang bakal berlaku, terserahlah kepada ke­pimpinan UMNO itu sendiri. -K! ONLINE

POPULAR