BEIJING – Sebuku roti yang kelihatan seperti dipenuhi kulat hijau mendapat perhatian netizen apabila dijual di platform online Taobao di China, baru-baru ini.
Menurut laporan laman berita Oddity Central semalam, roti tersebut tampak agak menjijikkan dengan inti hijau seperti sudah terlalu lama dan melebihi tarikh luput.
Rupa-rupanya, roti keluaran Syarikat China Nanjing Yican Foods itu bukanlah dipenuhi kulat hijau tetapi ia adalah gabungan inti teh hijau matcha dan keju yang kelihatan seperti makanan lama.

Pada mulanya, pembeli sedikit keliru dan menyangka ada syarikat tergamak menjual makanan berkulat namun selepas mendapat penjelasan, barulah mereka memahami konsep yang cuba disampaikan.
“Ia kelihatan jelik tetapi roti itu sangat sedap dan lembut apabila dimakan,” kata seorang pengguna media sosial.
“Abaikan sahaja rupanya kerana sekali anda makan roti ini, pasti anda akan mahu membelinya lagi,” komen seorang lagi.
Roti yang menggunakan bahan-bahan seperti teh hijau matcha Jepun berkualiti tinggi dan susu tepung dari New Zealand untuk intinya itu dijual pada harga AS$ 2.80 (RM11.52) sebiji.
Setakat ini, foto roti ‘berkulat’ itu telah dikongsi dengan pantas di laman Facebook dan mendapat lebih 500 ulasan positif meskipun rupa tidak menggambarkan keenakan rasanya. – Agensi