HANYA menggunakan imaginasi, Baser Ali, 58, mampu menghasilkan replika rumah tradisional persis reka bentuk asal tanpa membuat sebarang lakaran mahupun lukisan sebelum memulakan kerja tersebut.
Anugerah Ilahi tersebut digunakan sebaik mungkin dalam menghasilkan rumah-rumah tradisional seluruh Malaysia sejak tahun 2010.
Anak kelahiran Kampung Morten, Melaka itu mempelajari pembuatan replika rumah tradisional daripada arwah abangnya yang aktif menghasilkan kesenian tersebut.
Baser yang suatu ketika dahulu bekerja sebagai jurukimpal, pada awalnya tidak berminat membuat replika rumah tetapi akur setelah dicadangkan oleh arwah abangnya kerana diyakini dirinya mempunyai potensi besar.
Dia juga sedar bahawa pekerjaan jurukimpal itu mempunyai tempoh masanya tersendiri apatah lagi usianya semakin meningkat.
“Justeru, atas dorongan arwah abang yang inginkan saya memberi tumpuan kepada pekerjaan membuat replika dan pada masa sama mahu mencari hala tuju baharu telah menguatkan hasrat saya mengusahakan kraf tangan ini.
“Pada ketika itu, abang sentiasa memantau hasil kerja saya dan memberi tunjuk ajar sehingga dapat menghasilkan replika yang sempurna,” katanya ketika ditemui K2 di kediamannya di Kampung Morten, Melaka baru-baru ini.
Baser yang berpengalaman sebagai jurukimpal selama dua dekad itu memberitahu, latihan berterusan membolehkannya mahir dalam pembuatan replika rumah tradisional dalam tempoh cuma kurang setahun.

Rumah tradisional Melaka adalah replika pertama yang dihasilkan olehnya dan dijual pada harga RM1,500.
“Walaupun pada peringkat awal tidak tahu langsung asas menghasilkan replika ini apatah lagi membuat rumah sebenar, tetapi saya ini berdarah seni dan pandai melukis, maka mudah untuk faham setiap yang diajar.
“Arwah abang juga yakin saya boleh melakukannya dan sentiasa memberi sokongan sehinggalah dia menghembuskan nafas terakhir pada tahun 2012,” terang anak keenam daripada sembilan beradik itu.
Lebih menakjubkan, Baser menghasilkan rumah tradisional itu dengan sangat terperinci dan halus lengkap dengan ukiran papan pemanis, tangga, tingkap serta atap.
Oleh itu, tidak hairanlah setiap mata yang memandang replika-replika rumah tradisional itu seolah-olah dibawa ‘terbang’ ke zaman silam. Antara replika rumah yang dihasilkannya ialah rumah tradisional dari Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Perak, Terengganu, Sabah dan Sarawak.
“Sebelum menghasilkan replika rumah, saya akan melihat rumah-rumah tradisional di setiap negeri di internet untuk mendapatkan idea bagi menghasilkan reka bentuk sama seperti rupa asalnya.
“Selepas itu, dengan menggunakan imaginasi, saya membangunkan bahagian rumah itu satu per satu,” tutur bapa kepada empat cahaya mata itu.

Tambahnya, antara bahan-bahan yang digunakan ialah papan lapis, kayu, jerami padi, syelek dan gam.
Baser sering menggunakan kayu seraya merah, mengsawa hitam, damar dan pelbagai jenis kayu yang dikitar semula.
Kayu-kayu tersebut kemudiannya dipotong menggunakan pemotong khas mengikut ukuran yang dikehendakinya.
Di samping membuat replika rumah yang unik, dia juga mahir mengukir hiasan di halaman rumah seperti pasu berserta bunga dan tempayan bagi menaikkan elemen tradisional seperti zaman dahulu.
“Saya amat mementingkan kualiti produk dengan setiap sudut itu diberi perincian yang sangat halus supaya apabila orang memandangnya akan tertarik.
“Sehubungan itu, saya sangat berpegang kepada prinsip biarlah lambat untuk disiapkan asalkan produk dihasilkan itu sempurna dan sangat indah,” katanya yang turut dijemput untuk menyampaikan ilmu pembuatan replika tersebut kepada pelajar-pelajar di institusi pengajian tinggi.
Berbicara mengenai saiz replika rumah, Baser berkata, ia bergantung kepada permintaan pelanggan iaitu sekitar 12×15 inci (30×38 sentimeter) hingga 4×5 kaki (121×152 sm).
Bagi menyiapkan setiap unit rumah itu, dia mengambil masa sekitar dua minggu hingga 50 hari bergantung saiz dan kerumitan reka bentuknya.
Harga replika rumah itu pula bermula RM180 hingga mencecah ribuan ringgit.
Keindahan dan kehalusan hasil tangan Baser itu bukan sahaja dibeli oleh pelanggan di seluruh Malaysia tetapi turut menarik pembeli dari Britain, Sweden, China dan Belanda.
Replika rumah itu dibeli oleh pelanggan untuk dijadikan sebagai hiasan di rumah selain sebagai cenderamata.
Sepanjang 11 tahun berkecimpung dalam bidang tersebut, Baser telah menjual lebih 1,000 unit replika rumah tradisional.

Antara koleksi eksklusif yang dihasilkan oleh Baser ialah replika Istana Melaka yang mengambil masa sekitar tiga minggu untuk disiapkan.
“Istana ini adalah permintaan saudara saya sendiri yang ingin memiliki replika istimewa sebagai tanda kenang-kenangan.
“Saya menggunakan papan pelapis dan kayu mengsawa untuk menyiapkan istana bersaiz 4×2 kaki (121x60sm) dan ketinggian 16 inci (40sm) ini,” ulasnya yang merupakan usahawan kraf berdaftar di bawah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia).
Kepakarannya juga ditagih untuk menyiapkan replika rumah pusaka sebagai kenang-kenangan sebelum ia dirobohkan.
Siapa sangka, pembuatan replika itu juga membuka pintu rezeki buatnya sekeluarga apabila dia juga menerima tempahan papan pemanis dan gazebo.
“Cabaran utama saya adalah masa kerana perlu menyiapkan replika rumah dan pada masa sama memenuhi permintaan pelanggan untuk membuat papan pemanis dan gazebo.
“Pekerjaan ini saya lakukan seorang diri dan akan dibantu anak bongsu iaitu Muhammad Radzi Ikram, 17, ketika masa lapangnya,” tuturnya.
Besar harapan Baser agar anak bongsunya itu akan mewarisi ilmu kesenian pembuatan replika itu setelah ketiadaannya kelak.
Dia juga berbesar hati untuk mengajarkan ilmu tersebut kepada sesiapa yang berminat supaya seni itu terus berkembang kepada generasi seterusnya.
Dek kerana keindahan seni replika itu, kediamannya juga telah menjadi salah satu lokasi yang wajib dikunjungi sekiranya melancong ke negeri Melaka.
Akui Baser, penjualan produk krafnya itu turut terkesan ekoran Covid-19 apabila pelancong tidak lagi dapat datang seperti dahulu.
Namun, keadaan bertambah baik apabila Kraftangan Malaysia menyediakan E-Kraf Bazar iaitu platform penjualan produk secara online.














