KAPTEN Perak Phoenix, Khairunnisa Nazri enggan meratapi kekalahan teruk 29-71 kepada pilihan utama kejohanan, Kuala Lumpur (KL) Wildcats pada aksi kedua Kumpulan A Netball Super League (NSL) kelmarin.
Sebaliknya, goal shooter berusia 21 tahun itu percaya pasukannya mampu kembali ke landasan kemenangan dalam aksi ketiga menentang Melaka Mystic di Stadium Juara, Bukit Kiara pada Jumaat ini.
Bagaimanapun, pemain skuad kebangsaan itu tidak mahu mengambil mudah meskipun Melaka masih belum meraih sebarang kemenangan selepas tewas dua perlawanan berturut-turut setakat ini.
“Saya kurang tenang memulakan perlawanan tetapi situasi itu berubah dan ada peningkatan ditunjukkan dalam setiap suku masa.
“Saya percaya jurulatih akan merangka pelan permainan baharu untuk memastikan kami berjaya meraih semula kemenangan pada perlawanan seterusnya.
“Namun, apa yang saya dapat lihat kami masih ada beberapa perkara perlu diperbaiki antaranya aspek serangan,” katanya selepas tamat perlawanan kelmarin.