fbpx
Ekzos yang dirampas polis di Johor baru-baru ini.

Kelajuan, menunjuk atau keselamatan?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
AHMAD SHAHERMAN SHAMSURI,
WARTAWAN EKSEKUTIF

SETIAP kali motosikal ekzos bi­sing atau digelar ‘ekzos perang’ melalui sebelah kereta penulis, ketika itu juga bagai hendak luruh jantung dibuatnya. Bising dan terlalu membingitkan te­linga.

Kadangkala terkeluar juga perkataan tidak sepatutnya diucapkan apabila berdepan situasi seperti ini.

Berdasarkan situasi semasa, penggunaan ‘ekzos perang’ kini semakin popular dalam kalangan pemilik motosikal jenis kapcai terutama golongan remaja.

Melalui pemerhatian penulis di laman sosial kumpulan motosikal, rata-rata pengguna ken­deraan dua roda itu mendakwa, ‘ekzos perang’ mampu meningkatkan kelajuan motosikal berbanding ekzos ‘ori’ kilang.

Namun, adakah dakwaan itu benar atau hanya sekadar mitos?

Bekas pelumba motosikal negara, Wazi Abdul Hamid sebelum ini pernah berkata, ekzos motosikal yang diubah suai dan bingit meningkatkan kelajuan motosikal adalah tidak benar.

Katanya, untuk mendapatkan kelajuan lebih daripada asal, bukan sahaja ekzos perlu ditukar, malah ada komponen lain juga perlu diganti dan diubah suai.

“Kalau nak kata pakai ekzos yang diubah suai semata-mata untuk menambah kelajuan motor, ia sama sekali tidak benar.

“Kalau ada peningkatan pecutan pun hanya sedikit, tak sampai 30 peratus. Ada bahagian motosikal lain kena ubah suai jika mahu meningkatkan pecutan motosikal, bukan hanya ekzos,” katanya.

Pandangan sama turut dikongsi oleh seorang pakar automotif dan sukan permotoran, Azad Jasmi yang memberitahu, penggunaan ‘ekzos perang’ tidak merubah kelajuan sesebuah kenderaan tanpa modifikasi komponen lain.

Menurut beliau, kebanyakan mereka yang memodifikasi ekzos asal kepada ‘ekzos perang’ pada motosikal ketika ini hanyalah untuk merasa keseronokan.

“Ada sesetengah orang, apabila memodifikasi ekzos, mereka rasa puas dengan bunyi tersebut dan motosikal juga nampak lebih ‘ranggi’ serta cantik.

“Kesimpulannya, ekzos perang sahaja tidak mampu me­ningkatkan kelajuan sesebuah motosikal, banyak komponen perlu ditukar dan enjin perlu ditala semula jika mahu menambah kelajuan,” ujarnya.

Beliau turut menafikan bahawa penggunaan ‘ekzos perang’ juga dapat meningkatkan tahap keselamatan penunggang motosikal di jalan raya.

Katanya, dakwaan itu hanya mitos kerana untuk keselamatan, sesebuah motosikal sudah dilengkapi dengan hon bagi memberi amaran kepada ken­deraan lain.

Baru-baru ini, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Azisman Alias dilaporkan berkata, pemilik motosikal boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan jika mengubah suai ekzos.

Tindakan itu diambil mengikut Kaedah 103 Kaedah-Kaedah Kenderaan Bermotor (Pembinaan dan Penggunaan) 1959 (LN 170/1959)

Menurut Azisman lagi, peruntukan Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 pula memberi kuasa kepada polis untuk menyita motosikal tersebut dengan tujuan bagi mengelakkan daripada berlakunya lagi kesalahan sama.

Secara kesimpulannya, penulis amat menyokong tindakan kerajaan yang mengenakan denda kepada pemilik motosikal yang mengubah suai kenderaan menggunakan ‘ekzos perang’ ini.

Justeru, hormatilah antara satu sama lain, jalan raya di Malaysia untuk dikongsi bersama kerana kita sama-sama membayar cukai jalan.-K! ONLINE

POPULAR