fbpx

Premis proses ayam lepaskan sisa ke saluran pembentungan IWK diserbu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pegawai SPAN melihat tempat proses ayam yang didakwa melepaskan sisa ke kawasan pembentungan.

CYBERJAYA – Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menyerbu sebuah premis memproses ayam segar di Semenyih, Selangor semalam selepas didapati melepaskan sisa pemprosesan ayam ke dalam lurang paip kumbahan Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. (IWK).

SPAN berkata, premis yang beroperasi di Kawasan Perindustrian Sri Haneco, Semenyih itu dikesan melepaskan sisa terlarang berupa bulu dan darah ayam ke dalam saluran pembetungan dan seterusnya masuk ke loji rawatan kumbahan awam.

Menurutnya, serbuan mengejut oleh Bahagian Penguatkuasaan SPAN Ibu Pejabat itu dilakukan hasil aduan daripada pihak IWK Unit Langat.

“Tindakan tidak bertanggungjawab itu menyebabkan saluran pada lurang kumbahan milik IWK tersumbat.

“Operasi penguatkuasaan sebegini adalah isyarat jelas bahawa tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil ke atas mana-mana pihak yang disyaki melepaskan sebarang efluen terlarang ke dalam lurang pembetungan awam.

“Perbuatan itu akan memberi impak kepada sistem rawatan kumbahan awam dan juga alam sekitar,” katanya menerusi hantaran di Facebook semalam.

Katanya, perbuatan melepaskan atau membuang sebarang efluen terlarang ke dalam sistem pembetungan awam boleh disiasat di bawah Seksyen 61(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 [Akta 655].

Jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Sebarang aduan atau maklumat berkenaan pencemaran boleh menghubungi talian 03-8317 9333 atau emel [email protected] K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI