fbpx
SOPHIA ALBARAKBAH

Sophia Albarakbah rimas isu seksi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MILIKI raut wajah jelita bukanlah tiket ekspres untuk Sophia Albarakbah memahat nama dalam industri seni dengan sekelip mata.

Meski mengakui namanya belum cukup ranum, namun baru-baru ini wanita berusia 28 tahun itu berjaya mencuri perhatian ramai selepas muncul dalam drama Tercipta Satu Ikatan gandingan bersama Aeril Zafrel dan Hannah Delisha.

Di sebalik perhatian yang mula tumpah ke ribaannya, Sophia mula berdepan kecaman. Dengan kecantikan semula jadi yang menjadi aset komersial, dia turut berdepan skeptikal kononnya menjual rupa berbanding bakat.

MENGAKUI rimas sering terpalit dengan imej seksi, pelakon berusia 28 tahun itu mahu orang ramai lebih fokus terhadap bakatnya berbanding isu remeh.

Jual wajah

Kedengaran pedih, namun itulah dakwaan yang harus dihadam anak kelahiran Kuala Lumpur itu.

Malah, ada yang menuduh wanita berdarah kacukan Melayu, Arab dan Cina itu menjaja rupa parasnya sedangkan kualiti lakonan seperti kayu serta tidak beremosi.

Memperhalusi segala tohmahan yang disifatkan sengaja diperbesarkan itu, Sohia menganggap semua dakwaan tersebut sebagai asam garam yang perlu dirasainya sebagai anak seni.

“Secara jujur, hati saya terkesan apabila ada yang cakap saya jual wajah cantik untuk dapatkan tawaran serta melabel saya sebagai pelakon kayu.

“Tetapi saya cuba untuk tidak membiarkan perasaan saya hanyut dengan semua dakwaan tersebut.

“Saya percaya semua rezeki datang daripada Tuhan,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Heroin filem Miimaland itu sebenarnya enggan mengambil pusing segala komen negatif terhadap diri kerana perkara itu akan memberi kesan tidak baik terhadap kesihatan mentalnya.

“Setakat ini saya masih ada keyakinan terhadap kemampuan diri sendiri.

“Jika ada yang mengata dan beri komen membangun, saya terima tetapi sekiranya hendak maki hamun, lebih baik abaikan saja,” ujarnya.

SOPHIA tidak pernah melayan segala dakwaan yang dilemparkan kepadanya kerana yakin dengan bakat dimiliki.

Perbaiki lakonan

Semakin diintai khalayak setelah muncul menerusi drama bersiri Hadiah Dari Tuhan baru-baru ini, Sophia mengakui turut memasang impian untuk bergelar pelakon hebat suatu hari nanti.

Tidak hanya ingin menjadi aktres yang mesra di mata umum , Sophia juga mahu namanya diingati ramai sebagai pelakon yang berkredibiliti.

“Pada awal kemunculan, saya pernah menyertai kelas lakonan dengan Farah Ahmad dan selain itu, saya juga banyak menonton pelbagai jenis naskhah antarabangsa serta tempatan untuk mempelajari lebih banyak teknik lakonan.

“Kalau saya dapat watak jenis antagonis, jadi saya akan buat kerja rumah dengan menonton banyak lakonan sebegitu.

“Dalam masa sama, saya merujuk dengan pelakon-pelakon senior, pengalaman mereka sangat bernilai buat saya,” tuturnya yang mengimpikan karya genre fantasi untuk dijayakan.

Dia juga percaya setiap pelakon mempunyai bakat tersendiri, termasuk dirinya.

“Kalau boleh, saya mahu bawa satu nafas baharu dalam industri lakonan Malaysia. Untuk jadi yang terbaik, saya perlu bersaing dengan diri sendiri supaya lebih bagus daripada hari sebelumnya,” katanya.

Ujarnya, bakat juga boleh diasah, yang penting kesungguhan dan kecintaan mendalam terhadap seni.

Berkongsi momen menceburkan diri dalam bidang seni sekitar lima tahun lalu, Sophia bermula dengan iklan komersial. Ketika itu, dia masih menuntut di International Medical University dalam bidang diatetik.

“Ketika itu, saya banyak menjayakan iklan sebab nak cari duit poket. Sebelum itu, saya mengambil pengajian dalam jurusan Bioteknologi di Technology Park Malaysia.

“Saya bukanlah seorang yang mempunyai asas dalam dunia lakonan, tetapi saya percaya perkara itu boleh diperbaiki dari masa ke masa,” katanya.

SENTIASA berusaha memperbaiki kualiti lakonan, Sophia mahu bergelar aktres hebat satu hari nanti.

Rimas isu seksi

Selain bakat lakonannya yang sering dipertikai ramai, Sophia juga kerap dikaitkan dengan imej seksi.

Mengakui rimas dikaitkan dengan isu seksi, dia berharap masyarakat lebih memandang bakat berbanding penampilan.

“Sejujurnya saya rimas bila orang kerap tanya isu seksi. Jika dilihat, penampilan saya sebenarnya tidaklah begitu seksi seperti yang sering dijaja.

“Rasanya pihak luar perlu kurangkan atau tidak lagi membangkitkan isu tersebut lagi. Dalam tidak sedar, isu seksi pula yang lebih banyak dijual berbanding karier,” ujarnya mengakhiri perbualan

TERDAPAT segelintir netizen menuduh wanita berdarah kacukan Melayu, Arab dan Cina itu menjaja rupa parasn sedangkan kualiti lakonan seperti kayu serta tidak beremosi.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN