fbpx

Art Fazil, Andy, Imuda sengaja tempah sesak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ART FAZIL bersama Imuda dan Andy Flop Poppy.

MENDENGAR single terbaharu berjudul Jam! gabungan penyanyi Art Fazil, Andy Flop Poppy dan Imuda, penulis tertawa sendiri. Masakan tidak, lagu bergenre blues memang cukup mudah untuk mesra di telinga biarpun pertama kali didengar, lirik yang ‘catchy’ dan menusuk ke telinga.

Antara bait-bait liriknya: “Pergi kerja jam, balik kerja jam, kalau tak kerja kocek yang jam. Pergi sekolah jam, balik sekolah jam, kalau tak sekolah masa depan yang jam”.

Ringkas, tetapi apa yang disampaikan dalam lagu ciptaan Art Fazil itu benar dan mudah untuk dihadam oleh pendengar, terutama warga kota yang terpaksa menghadapi kesesakan lalu lintas setiap hari.

“Ilham untuk menghasilkan lagu ini adalah daripada pengamatan saya terhadap kehidupan warga kota yang sering mengeluh tentang keadaan trafik terutama pada waktu pagi dan menjelang malam.

“Saya berharap agar orang yang mendengarnya ketika memandu dalam kesesakan lalu lintas akan terhibur.

ART FAZIL lega dapat kembali bergabung dengan Imuda dan Andy dalam lagu baharu berjudul Jam!.

Sahabat

“Sebenarnya idea untuk menghasilkan lagu ini sudah lama ada iaitu selepas saya keluarkan single Rilek Brader bersama Imuda pada 2013 dan Orang Baik Baik (2015).

“Malah, lagu Jam! telah disiapkan pada penghujung 2019, cuma disebabkan kesibukan kerjaya masing-masing, pelancarannya ditangguhkan sehingga Mac tahun ini,” ujar Art Fazil yang hanya mengambil masa satu jam untuk menyiapkan melodi dan lirik lagu Jam!

Menariknya selain Art Fazil, lagu Jam! turut menampilkan Andy Flop Poppy selaku vokalis dan pemain bass serta tiupan harmonika oleh Imuda.

Menyentuh tentang pemilih Andy dan Imuda sebagai penyeri lagu Jam! jelas Art Fazil mereka berdua dipilih atas faktor sahabat baiknya dan memiliki imej jalanan yang begitu kuat.

“Mereka memiliki imej tersendiri. Imuda terkenal dengan identiti sebagai seorang pelukis, pemain muzik blues dan pelawak. Andy pula cukup terkenal dengan band indie Flop Poppy dan seorang pemuzik yang boleh bermain pelbagai alat muzik.

“Mereka juga sahabat baik saya. Imuda dan saya mula akrab apabila kami merakam lagu Rilek Brader pada tahun 2013.

Saya mengenali Andy pada 2004 apabila dia datang bersama kru untuk membuat dokumentari ketika saya menetap di London, England.

“Selepas itu kami kerap bekerjasama dalam projek Caravan of Praise dan sering membuat persembahan lagu-lagu berunsur selawat,” katanya yang pernah merakam lagu bersama Caravan of Praise dengan lagu selawat berjudul Kerana Mu (Ya Nabi Salam Alaika) pada 2018.

Video muzik lagu Jam! dirakam di tengah-tengah kesesakan jalan raya di Kuala Lumpur.

Cari jalan paling sesak

Jelas Andy, lagu Jam! sebuah karya yang membuatnya keluar dari zon selesa dan lebih menarik ketika penggambaran video muzik lagu tersebut, mereka bertiga benar-benar meredah kesesakan trafik dan menyanyi di belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda sambil mengelilingi Kuala Lumpur.

“Seronok sangat semasa penggambaran video. Kami bertiga menaiki kenderaan pacuan empat roda seharian mengelilingi Kuala Lumpur mencari suasana kesesakan lalu lintas.

“Tidak pernah-pernah saya mencari kesesakan, tetapi hari itu kami mencari tempat yang paling sesak

“Ketika berhenti dalam kesesakan, ada antara pengguna jalan raya membuat permintaan lagu selepas melihat kami. Tiada langsung sebarang tekanan dalam pembikinan lagu ini, bermula daripada rakaman lagu sehinggalah ke penggambaran video muzik,” cerita Andy yang bakal muncul album solonya tidak lama lagi.

Pendapat sama turut dikongsi Imuda yang cukup seronok dengan sambutan pengguna jalan raya ketika penggambaran video muzik.

“Semasa penggambaran memang betul-betul ada ‘jam’. Sehari suntuk kami menyanyi dan merasai lagu Jam! dalam kesesakan bersama-sama. Kami tanpa rasa malu dan buat muka tebal duduk di belakang kereta sambil menyanyi.

“Seronok apabila orang ramai memberi reaksi positif seperti ada yang mengekori kami, ada yang membuat tanda suka, mengambil gambar dan ada yang sekadar menonton,” luah Imuda yang kini sibuk dengan tempahan lukisan dan jualan kemeja-T sempena ulang tahun ke-38 program Pi Mai Pi Mai Tang Tu.

Video muzik lagu Jam! kini boleh ditonton menerusi You Tube Maro Records.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI