JOHOR BAHRU – Selepas enam tahun beroperasi, akhirnya taman tema Angry Birds Activity Park di bangunan Komtar Johor Bahru City Centre (JBCC) melabuhkan tirainya pada 5 April ini.
Pengumuman tersebut dimaklumkan di laman Facebook Angry Birds Activity Park Johor Bahru semalam.
Penutupan taman tema tertutup itu disebabkan kesan pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak setahun yang lalu.
“Dukacita dimaklumkan Angry Birds Activity Park Johor Bahru akan menutup tirai operasi kami secara rasmi pada 5 April ini.
“Segala sokongan dan pengalaman enam tahun yang menakjubkan bersama anda amat kami hargai,” kata kenyataan itu.
Pengumuman tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada warganet yang terkejut dengan penutupannya terutamanya mereka yang pernah membawa keluarga meluangkan masa di taman tema itu.
Pada awal tahun lalu, Angry Birds Activity Park ditutup sementara pada 13 Januari ketika negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 sebelum kembali beroperasi semula pada 6 Mac lalu.
Taman tema Angry Birds yang mula beroperasi pada 31 Oktober 2014 merupakan yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara mampu menampung kira-kira 400 pengunjung dalam satu masa.
Taman tema berkeluasan 26,000 kaki persegi itu menawarkan permainan dan ruang bukan saja untuk kanak-kanak malah untuk dewasa.-K! ONLINE