fbpx

Dua pegawai JPJ Selangor direman rasuah tauke lori

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ketua Penolong Pegawai Penguatkuasa JPJ Selangor ( dua kanan) dan pembantu penguatkuasa JPJ Selangor (paling kiri) direman enam hari bermula hari ini.

SHAH ALAM – Ketua Penolong Pegawai Penguatkuasa dan seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor direman selama enam hari bagi membantu siasatan menerima rasuah bulanan di antara 2016 hingga 2018 bernilai keseluruhan RM73,850.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Fatina Amyra Abdul Jalil terhadap kedua-dua suspek berusia 44 dan 45 tahun di Mahkamah Majistret Shah Alam.

Kedua-dua tertuduh yang memakai baju lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan bergari serta dikawal pegawai penguat kuasa SPRM terlebih dahulu hadir di Kompleks Mahkamah Shah Alam pukul 10.30 pagi.

Menurut sumber, kedua-dua suspek ditangkap dalam tempoh lima minit bermula pukul 5 petang semalam selepas hadir di Pejabat SPRM Selangor.

Sumber memaklumkan, mereka berjawatan Pembantu Penguatkuasa Kanan dengan gred KP22 dan Ketua Ketua Penolong Pegawai Penguatkuasa bergred KP32 di JPJ Selangor telah menerima rasuah bulanan daripada pengusaha syarikat pengangkutan lori.

“Siasatan awal mendapati suspek bergred KP32 itu telah meminta dan menerima wang suapan secara bulanan di antara RM100 hingga RM5,000 berjumlah keseluruhan RM69,850 sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadap kesalahan lebih muatan dan lain-lain kesalahan jalan raya.

“Kesalahan itu dilakukan selama dua tahun bermula 2016 hingga 2018,” katanya.

Sumber turut memberitahu, seorang lagi suspek pula menerima suapan secara bulanan bermula Disember 2017 hingga Mac 2018 dengan nilai keseluruhan RM4,000 untuk alasan sama.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Kosmo! hari ini melaporkan tembelang 32 pegawai JPJ menerima sogokan RM1.64 juta sejak 2019 untuk melindungi lori melanggar syarat terbongkar apabila semua mereka diberkas dalam operasi besar-besaran di lima negeri kelmarin. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI