fbpx
Muhyiddin ketika menerima suntikan vaksin Covid-19.

Vaksin Sputnik V termasuk dalam portfolio vaksin negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Vaksin Sputnik V keluaran Rusia sudah termasuk dalam portfolio pembelian vaksin Covid-19 negara dan ketika ini sedang dalam penilaian Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) bagi tujuan kelulusan dan pendaftaran.

Itu penjelasan diberikan Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebagai reaksi kepada dakwaan dikeluarkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya kerajaan tidak berminat dengan vaksin dari Rusia itu.

Khairy Jamaluddin berkata, dakwaan bahawa kerajaan tidak memberikan perhatian terhadap vaksin Sputnik V adalah tidak benar.

“Ini (dakwaan) adalah tidak benar memandangkan vaksin Sputnik V sememangnya terdapat di dalam potfolio vaksin negara,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Katanya, beliau mengambil maklum mengenai beberapa persoalan lain dibangkitkan Ketua Pembangkang mengenai PICK dan memaklumkan bahawa satu sesi taklimat lanjut berkaitan (PICK) kepada Ahli Parlimen akan diadakan dalam masa terdekat.

Menurutnya, surat jemputan kepada Ahli Parlimen juga telahpun dihantar dan beliau berharap Ketua Pembangkang serta Ahli Parlimen pembangkang yang lain dapat hadir ketika sesi taklimat itu nanti.

“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Ketua Pembangkang yang telah menyatakan komitmen pihak pembangkang untuk menyokong PICK ini,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan kini sedang menggerakkan pelbagai agensi kerajaan bagi memberi keyakinan kepada orang ramai dan kumpulan anti-vaksin menerusi program-program kesedaran yang dikendalikan Kementerian Kesihatan (KKM), Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Siri-siri penerangan telah dilaksanakan di pelbagai platform sama ada di media massa, media cetak mahupun media sosial,” katanya.

Mengenai persoalan perolehan vaksin pula, Khairy Jamaluddin berkata, kerajaan masih terikat dengan ‘non-disclosure agreement’ (NDA) yang dimeterai bersama syarikat pengeluar vaksin.

“Bagaimanapun, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah serta saya sudah membentangkan perincian kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen Malaysia pada 5 Januari lalu.

“Butiran dan kertas perjanjian sudah ditunjukkan kepada PAC dan mereka berpuas hati dengan pembentangan dan tatacara perolehahan vaksin Covid-19 dibuat kerajaan,” katanya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN