SUNGAI SIPUT – Polis mengesahkan lelaki yang menolak keretanya ke dalam bekas lombong di Taman Lintang Makmur di sini berada dalam di bawah pengaruh dadah ketika melakukan perbuatan tersebut.
Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd. Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, sisatan lanjut mendapati tiada individu lain berada di dalam kereta jenis Proton Satria seperti didakwa lelaki berkenaan.
“Hasil selaman oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia mendapati tiada mangsa di dalam kereta berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut polis menemui dadah jenis amphetamine seberat 0.07 gram dan hasil ujian air kencing juga mendapati dia positif dadah sama,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Terdahulu, polis memanggil pasukan bomba bagi memastikan tiada mangsa yang terlibat dalam kereta yang ditolak lelaki berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Siput, Mohd. Azizi Zakari berkata, anggota bersama Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) telah membuat pencarian sehingga 30 meter ke tengah lombong dengan kedalaman 25 meter.
“Kereta berkenaan berjaya dijumpai dan disahkan tiada mangsa di dalamnya. Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 1.30 tengah hari,” katanya. – K! ONLINE














