KENDERAAN perisai sinonim sebagai aset pertahanan sesebuah negara untuk melindungi daripada serangan atau ancaman luar.
Negara seperti Jerman, Turki, Poland, Belgium dan United Kingdom sebelum ini terkenal sebagai pembuat dan menjual kenderaan-kenderaan perang.
Kenderaan perang terbahagi kepada beberapa jenis, antaranya seperti kereta kebal utama, kereta kebal ringan, kenderaan tempur berperisai, kenderaan pengangkut berperisai dan kenderaan pelbagai guna berperisai.
Kerete kebal utama dan kereta kebal ringan biasanya dipanggil kereta kebal dan menggunakan tayar berantai, selain menggunakan roda sama ada pacuan lapan roda, pacuan enam roda atau pacuan empat roda.

Kereta perisai jenis yang lain merupakan kenderaan pacuan empat roda dengan fungsi tersendiri misalnya pengangkut atau pelbagai guna yang dilengkapi senjata.
Sejak Malaysia mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, hanya ada syarikat tempatan yang membina kenderaan perisai dengan kerjasama syarikat dari luar negara.
Baru-baru ini, syarikat Mildef International Technologies (MILDEF) diketuai Datuk Sri Mohd. Nizam Kasa telah memperkenalkan kenderaan berperisai mobiliti tinggi pacuan empat roda (4×4) yang buat masa ini dikenali sebagai MILDEF HMAV 4×4.
Ia direka cipta dan dibangunkan untuk tujuan pasaran tempatan dan antarabangsa.
Dengan pasukan terdiri daripada pakar-pakar berkemahiran tinggi, MILDEF mempunyai rekod prestasi yang baik dalam semua aspek penyelenggaraan, pembaikan dan membaik pulih jentera-jentera berat beroda dan berantai.
Menurut Mohd. Nizam yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutifnya, idea di sebalik pembuatan kenderaan berperisai 4×4 Malaysia yang pertama kerana sebelum ini negara terlalu bergantung kepada pembekal antarabangsa.
Katanya, isu sering timbul apabila tiba keperluan untuk servis selepas jualan.
“Bagi menyelesaikan masalah ini, Malaysia perlu membina kenderaan berperisainya sendiri.
“Pada tahun 2016, MILDEF menyedari bahawa kita mempunyai keupayaan untuk melakukannya,” katanya semasa sidang akhbar selepas memperkenalkan kenderaan perisai itu di Sepang baru-baru ini.

Tambahnya, kemajuan syarikat dalam teknologi pembuatan merupakan salah satu sebab pasukannya memulakan proses pembinaan kenderaan itu dengan mengambil inspirasi daripada reka bentuk kenderaan berperisai pacuan empat roda terbaik yang lain di seluruh dunia.
“Cabaran kami adalah untuk menunjukkan kepada pemain industri bahawa sebuah syarikat Malaysia mampu untuk mereka cipta dan membangunkan kenderaan yang berupaya untuk bergerak pantas di pelbagai bentuk muka bumi dan boleh mencapai kelajuan lebih daripada 110 kilometer sejam (kmj).
“Apa yang lebih penting, ia juga mampu menjalankan segala misi penting ketenteraan sambil menyediakan perlindungan secukupnya untuk kru yang terlibat,” tambahnya.

Jelasnya, bagi menjayakan projek berkenaan, syarikat itu telah dibantu oleh agensi pertahanan di Malaysia yang dikenali sebagai STRIDE dan Angkatan Tentera Darat bagi mendapat khidmat nasihat dan kerjasama bagi memaksimumkan kegunaan dan keupayaan kenderaan itu supaya selaras dengan aplikasi piawaian ketenteraan.
“Selepas bertungkus lumus selama beberapa tahun, kami amat berbesar hati untuk mengumumkan bahawa dua unit prototaip yang bersedia untuk diuji dalam ujian percubaan berjaya siapkan.
“Selain memperkenalkan ciptaan itu ke pasaran tempatan, MILDEF juga merancang untuk menembusi pasaran ASEAN sebelum meninjau peluang untuk mengeksport kenderaan itu ke negara lain,” jelasnya.
Ujar Mohd. Nizam, antara spesifikasi pada kenderaan berperisai mobiliti tinggi itu seperti nisbah kuasa dan berat untuk MILDEF HMAV 4×4 adalah 24 kuasa kuda per tan.
“Ia memberikan pelepasan ruang bawah yang luas untuk kenderaan ini agar dapat melepasi pelbagai halangan dengan mudah.
“Sistem suspensi bebas dengan penggunaan spring gegelung memberi keselesaan yang lebih dalam kabin, justeru melancarkan mobiliti kenderaan berkenaan,” ujarnya.

Katanya lagi, dalam kejadian yang sukar seperti seperti kebocoran tayar, sistem inflasi tayar berpusat (central tire inflation system) boleh diakses daripada panel papan pemuka bagi membenarkan pengisian angin ke dalam tayar dan membantu pengeluaran udara dari dalam tayar untuk membolehkan kenderaan ini kembali bergerak.
Dari segi saiz, panjang kenderaan perisai ini 5,600 milimeter (mm), lebar (2,500 mm) dan tinggi (2,500). Manakala jarak antara roda 3,200 mm.
MILDEF HMAV4x4 ini dilengkapi teknologi terkini yang menepati permintaan industri pertahanan antarabangsa dan direka cipta untuk memenuhi keupayaan pertahanan serta mampu mengatasi pelbagai cabaran misi ketenteraan.














