fbpx

Mimpi diselamatkan polis jadi kenyataan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Myrol menceritakan kejadian yang menimpanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Melati hari ini. - Foto SHIDDIEQIIN ZON

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang sebelum ini tular selepas dilaporkan hilang ketika pergi menghantar pesanan barangan kepada pelanggan minggu lalu bagaikan tidak menyangka apabila mimpinya diselamatkan polis akhirnya menjadi kenyataan.

Mangsa, Muhammad Amirul Shafiq Sudirman, 25, berkata, dia hanya mampu menunggu serta berdoa agar diselamatkan sepanjang enam hari menjadi tawanan empat lelaki tidak dikenali di sebuah rumah di Ayer Keroh, Melaka sejak Sabtu lalu.

“Kejadian berlaku sangat pantas dan saya hanya mampu menurut arahan individu yang ‘memegang’ saya ketika itu bagi mengelakkan dicederakan oleh mereka.

“Namun saya bersyukur apabila mimpi polis menyerbu rumah tersebut menjadi kenyataan dan saya seakan tidak percaya telah diselamatkan dan kembali ke pangkuan keluarga,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di kediaman keluarganya di Taman Melati di sini hari ini.

Menceritakan kembali tragedi yang menimpanya, Muhammad Amirul Shafiq atau lebih mesra disapa Myrol menjelaskan bahawa kejadian berlaku ketika dia pergi bertemu dengan beberapa lelaki yang ingin membeli tiga unit telefon Apple iPhone 12 berharga kira-kira RM17,000.

“Sepatutnya saya dan seorang rakan akan melakukan penghantaran bersama namun kebetulan ketika itu dia ada urusan lain jadi saya terpaksa pergi seorang diri ke sebuah premis di Sungai Besi, kira-kira pukul 7.30 malam Sabtu lalu.

“‘Pelanggan’ itu kemudiannya minta bertemu di ruangan meletak kereta premis terbabit kerana kononnya bimbang dilihat orang ketika mengira wang RM17,000 yang dibawanya,” katanya.

Tanpa berfikir panjang, Myrol menuruti permintaan lelaki berkenaan dan turut diarahkan masuk ke dalam kereta namun ketika hendak mengeluarkan barangan yang dipesan, Myrol mendakwa telah disembur dengan ubat nyamuk.

“Selepas disembur oleh ubat nyamuk pada mata, lelaki-lelaki berkenaan terus menumbuk dan mengikat tangan, kaki serta mulut saya menggunakan pita pelekat. Salah seorang daripada lelaki itu turut mendakwa sebagai seorang anggota polis dan meminta saya memberikan kerjasama.

“Saya cuba menjerit namun tiada sesiapa di kawasan tersebut malah salah seorang daripada mereka telah mengugut akan menumbuk muka saya sekiranya tidak memberikan kerjasama,” jelas beliau.

Myrol dilaporkan hilang pada 6 Mac lalu selepas membuat penghantaran iPhone di Sungai Besi.

Tambah Myrol, dia kemudiannya turut dipaksa menelan 10 biji pil tidak diketahui jenisnya yang mengakibatkan dia pening dan separuh sedar sebelum kereta tersebut berhenti di sebuah rumah teres yang menjadi penjaranya selama enam hari.

“Di rumah tersebut saya hanya duduk di dalam bilik dengan pengawasan seorang lelaki dan hanya diberi makan roti beserta kuah dhal malah ada juga hari yang saya tidak diberi makan langsung.

“Sewaktu dalam tahanan itu, saya ada bermimpi polis datang menyerbu rumah tersebut dan menyelamatkan saya namun saya tidak menyangka mimpi itu menjadi kenyataan apabila pihak polis tiba dan menyebut nama saya lewat malam tadi,” luah beliau.

Sementara itu, bapa Myrol, Sudirman Daek, 50, berkata, dia bersyukur dan mengalirkan air mata sebaik dimaklumkan oleh polis tentang kejayaan menyelamatkan anaknya itu kira-kira pukul 12.30 tengah malam tadi.

“Saya bersyukur Myrol berjaya ditemui dalam keadaan selamat dan berterima kasih kepada pihak polis terutamanya kepada Asisten Superintendan Khairul Anwar dan pasukan polis Bahagian D9 (Siasatan Khas) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras yang bertungkus lumus mencari serta menyelamatkan anak saya.

“Terima kasih juga diucapkan kepada akhbar Kosmo! yang membantu menghebahkan berita kehilangan Myrol sehingga kepada tertangkapnya suspek yang bertanggungjawab,” luahnya kegembiraan.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memaklumkan tentang tangkapan ke atas tiga suspek utama kejadian tersebut. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI