KAMPAR – Seorang pengusaha kantin dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Kampar hari ini daripada pertuduhan memudaratkan kesihatan enam pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kampar di sini pada tiga tahun lalu.
Majistret Nur Faizah Muhamad Saleh membuat keputusan tersebut di akhir kes pendakwaan setelah berpuas hati dengan keterangan dan hujahan daripada kedua-dua pihak.
Menurut Nur Faizah, pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie terhadap orang kena saman, Azman Rizal Azizi, 52.
“Pendakwaan dibuat pada 14 Mei 2020 manakala makanan diambil untuk dianalisa pada 10 Oktober 2018.
“Disebabkan pendakwaan dibuat melebihi 150 hari daripada tarikh makanan diambil untuk dianalisa, maka mahkamah putuskan pendakwaan gagal.
“Oleh yang demikian, setelah mendengar semua keterangan saksi dan mempertimbangkan semua hujahan, mahkamah memutuskan kamu dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan ini tanpa perlu dipanggil untuk pembelaan,” katanya.
Mengikut pertuduhan, Azman didakwa menyediakan makanan yang memudaratkan kesihatan enam orang pelajar SMK Seri Kampar di kantin sekolah berkenaan pada pukul 4 petang 10 Oktober 2018.
Azman selaku pemilik syarikat Alamasaq Services Sdn. Bhd. didakwa melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 13(1) Akta Makanan 1983 yang boleh dihukum denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga sepuluh tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Kesihatan Negeri Perak, Nurulhisham Shamsuddin manakala Azman diwakili peguam bela, Esmael Shah Shahrudin.
Pihak pendakwaan dalam tempoh perbicaraan sebelum ini telah memanggil enam saksi bagi memberikan keterangan. – K!ONLINE